Followers

Empat bas musnah terbakar di Ipoh

Saturday, January 9, 2010

IPOH: Empat bas musnah, membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit, dipercayai akibat perbuatan khianat dalam satu kebakaran di stesen bas Medan Kidd di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ibrahim Abu Bakar, berkata ia berlaku kira-kira 3.30 pagi ini.

"Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya kepada pemberita.


Beliau berkata, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang menyiasat punca kejadian dan telah mengambil keterangan daripada beberapa pengawal keselamatan yang berada di stesen bas berkenaan bagi membantu siasatan.

"Siasatan sedang dijalankan dan kita menunggu laporan daripada forensik," katanya ketika ditanya sama ada polis mengesyaki berlaku perbuatan khianat.

Tiga daripada bas yang musnah itu dimiliki Syarikat Reliance Omnibus Company Sdn Bhd dan sebuah lagi kepunyaan Kinta Omnibus Sdn Bhd.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 3.44 pagi dan 14 anggota yang bergegas ke tempat kejadian berjaya memadamkan api selepas kira-kira sejam.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan stesen berkenaan, Yeo Sin Hock, 49, mendakwa ternampak sebuah lori memecut keluar dari kawasan berkenaan semasa api sedang marak.

"Saya nampak lori itu keluar semasa (saya) berlari untuk melihat api," katanya.

Pengarah Urusan Reliance Omnibus Company Sdn Bhd, Mohd Syaful Abdullah, berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen berkenaan kepada polis. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives