Followers

Khalid: Jangan lama macam kes enjin TUDM

Friday, January 8, 2010

Abdul Rahim Sabri
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berharap siasatan lembaga disiplin PAS terhadapnya tidak mengambil masa sepanjang kes kecurian enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari pangkalan tentera di Sungai Besi pada 2007.

"(Harap jangan) sama lama macam kes enjin jet hilang," katanya berseloroh.

Enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa dari sebuah negara yang berpangkalan di Amerika Selatan.


Khalid ditemui selepas selesai memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung siasatan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan yang "melanggar displin dan merosakkan imej parti".

Beliau memberi keterangan itu di pejabat agung PAS di ibunegara selama kira-kira satu jam setengah mulai pukul 3.30 petang tadi.

Oktober lalu, mesyuarat khas barisan pemimpin atasan PAS memutuskan untuk membawa PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin parti itu.

Ekoran itu jawatankusa displin menghantar surat tunjuk sebab kepada Khalid dan pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hassan Ali yang disifatkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai "beberapa pemimpin bermasalah".

Khalid gembira kerana dapat memberi penjelasan kepada jawatankuasa displin parti itu berhubung tuduhan terhadapnya itu.

"Saya dipanggil (oleh jawatankuasa displin) tentang apa yang berlaku. Saya gembira dapat memberi keterangan. Terserah kepada jawatankuasa untuk menyiasat.

"Sekiranya saya bersalah, saya akan dikenakan tindakan displin dari parti, sekira saya tidak bersalah, saya lepas," katanya.

Ditanya mengenai pertuduhan terperinci terhadapnya, Khalid yang juga yang dipertua PAS Shah Alam berkata:

"Mungkin kenyataan yang saya dikeluarkan. Mungkin melibatkan kenyataan di blog dan akhbar berhubung PAS Selangor." .

Ditanya apakah siasatan terhadapnya itu ada kaitan dengan kes bai'ah talak, Khalid berkata ia "tidak ada kena mengena" dan "perkara tersebut telahpun diselesaikan".

Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada beliau akan dipanggil lagi oleh jawatankuasa tersebut.

Khalid muncul dari bilik tempat beliau memberi keterangan, bersama dengan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Saari hadir sebagai saksinya untuk "menjelaskan beberapa isu yang perlu dijelaskan".

"Beliau bertindak sebagai saksi untuk membuat penjelasan, bukan sebagai proksi," kata Khalid sambil tersenyum.

Menurutnya, sesi soal siasat itu dikendalikan oleh pengerusi jawatankuasa disiplin yang juga naib presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama dua lagi.  - Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives