Followers

Polis Tembak Dua Lelaki Terlibat Kes Serangan Bom

Sunday, January 10, 2010

NIBONG TEBAL: Polis menembak mati dua lelaki dipercayai suspek utama beberapa kejadian letupan bom di sekitar negeri ini, di ladang kelapa sawit berhampiran kubur Cina Tasek, Sungai Bakap dekat sini hari ini.



Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kedua-dua lelaki berusia 52 tahun dan 30-an itu ditembak mati dalam insiden berbalas tembak dan cubaan membaling sebutir bom tangan ke arah polis kira-kira 4.45 petang.

"Hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui sepucuk pistol dan lima butir bom tangan dalam kereta yang dinaiki lelaki terbabit, termasuk sebutir bom yang sudah dicabut pin untuk dibaling ke arah polis," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam ini.


Beliau berkata polis terpaksa mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan mayat kedua-dua lelaki berkenaan kerana khuatir sebutir bom yang sudah dicabut pin oleh salah seorang lelaki terbabit akan meletup.

"Polis mengambil masa kira-kira lima jam untuk membawa keluar mayat dua lelaki yang berada di tempat duduk pemandu dan penumpang di bahagian depan kerana bom berkenaan terjatuh ke tempat letak kaki penumpang di bahagian depan kereta itu," katanya.

Ayub berkata bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, Unit Pemusnah Bom dipanggil bagi meletupkan bom tangan itu.

"Berdasarkan pengecaman ke atas kedua-dua lelaki itu, mereka adalah suspek utama yang diburu berkaitan kes baling bom di Bukit Mertajam, baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata sebelum kejadian itu, satu pasukan khas polis negeri yang dibantu anggota dari Bukit Aman mengesan suspek menaiki kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Tasek, Sungai Bakap.

"Berikutan itu, polis mengekori kereta berkenaan sebelum disedari oleh salah seorang lelaki itu yang kemudiannya bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis," katanya.

Beliau berkata pemandu kereta terbabit turut memecut kenderaan ke arah ladang kelapa sawit sebelum terlanggar pokok kelapa sawit.

"Seorang daripada dua lelaki itu kemudian cuba membaling sebutir bom tangan ke arah anggota polis setelah mencabut pin tetapi gagal kerana terkena tembakan," katanya.

Ayub berkata siasatan awal juga mengenal pasti lelaki berusia 52 tahun dari Ipoh, Perak sebagai orang yang dikehendaki polis berhubung beberapa kes ugutan dan pemerasan di sekitar Seberang Perai.

Katanya lelaki berkenaan juga mempunyai rekod jenayah antaranya judi, kes ugutan dan pemerasan termasuk kes dadah manakala rakannya masih belum dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan saki baki kumpulan berkenaan.

Difahamkan keduadua lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan kejadian pada 6 Januari lepas, apabila sebutir bom tangan meletup di depan rumah pemilik kilang besi di Taman Perkasa, Butterworth menyebabkan sebuah kenderaan milik mangsa rosak.

Kumpulan itu juga dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes Disember lepas iaitu kejadian rumah seorang ahli perniagaan, di Taman Sungai Bakap Permai, Nibong Tebal dibaling bom tangan. -BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives