Followers

Konvensyen BN gagal dacing berat sebelah

Wednesday, December 8, 2010

Oleh Mohd Rashidi Hasan
KONVENSYEN Barisan Nasional yang berlangsung pada 5 Disember lepas di Dewan MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, jelas penuh dengan retorik dan caca merba.

Melalui konvensyen itu, BN melancarkan piagam baru berteraskan gagasan 1Malaysia yang antara lain memaparkan keazaman untuk memberi penekanan kepada usaha mempereratkan lagi hubungan antara kaum.
Piagam tersebut turut memberi penekanan kepada usaha mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan 1Malaysia.

Piagam berteraskan tujuh perkara itu turut memberi penekanan untuk menjunjung keluruhan Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat sebagai warganegara, mengiktiraf kesaksamaan rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.

Selain itu, piagam BN turut menekan usaha memajukan ekonomi negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberi komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan negara dapat dikecapi bersama.

Konvensyen BN tersebut diadakan kali pertama selepas kekalahan besar BN pada Pilihan Raya Umum 2008. Konvensyen tersebut diadakan bertujuan untuk merapatkan jurang yang wujud antara sesama komponen, selepas BN menerima tamparan hebat dari kalangan rakyat.

Namun, prinsip-prinsip yang digariskan dalam piagam BN bukannya baru, ianya hanyalah ulangan daripada prinsip asas yang dinyanyikan BN sekian lama.

Dari sudut negatifnya, kita dapat lihat, selepas lebih 50 tahun berkuasa mengapa BN terpaksa mempertegaskan soal kesepaduan kaum dan agama?

Mengapa BN terpaksa mengulang tekad untuk memerangi ekstremisme dan rasisme yang sentiasa wujud di kalangan anggota komponen BN sendiri?

Mengapa BN terpaksa mengulangi tekad memperjuangkan kesamarataan dalam pembahagian ekonomi?
Hakikat yang tidak dapat disembunyikan bahawa, masalah inilah yang menghantui BN sejak lebih 50 tahun.
Ianya suatu tekad yang diulang secara retorik semata-mata, walhal sebenarnya, masalah-masalah yang dibangkitkan seperti rasisme, masalah agama dan kepincangan ekonomi, gagal diatasi BN secara positif dan berkesan.

Sebab itu sidang konvensyen BN yang dikatakan untuk memacu perpaduan di kalangan komponen BN untuk menghadapi PRU, terpaksa diadakan secara tertutup.

Jika ia disiarkan secara langsung, atau diadakan secara terbuka, nescaya banyak tembelang BN akan terbongkar.

Sebab itu, hanya ucapan perasmian Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sahaja disiarkan secara terbuka, manakala sidang penuh dan ucapan perwakilan diadakan secara tertutup.
Itu pun ucapan Perdana Menteri disiarkan secara terbuka kerana, beliau mengambil kesempatan untuk membuat serangan yang hebat kepada Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat dijadikan bahan 'caci maki' untuk disambut oleh komponen BN, kerana kebiasaannya ucaptama pemimpin tertinggi, yang menjadi ucapan dasar kepada sesuatu persidangan, akan menjurus ucapan perwakilan ke arah itu.

Malangnya komponen BN tidak mahu mengikut jejak langkah Najib menyerang Pakatan Rakyat. Sebaliknya komponen BN bertindak menyerang Umno.

Di sebalik sidang tertutup itu, kedengaran suara-suara sumbang dari dalam konvensyen, mempertikaikan hala tuju BN yang didominasi Umno secara terbuka.

Secara umumnya kalangan parti komponen BN, mempunyai konsensus bahawa mereka mahu mengekalkan kuasa, namun mereka meletakkan syarat bahawa Umno tidak boleh menjadi 'tuan' dalam BN.
Tuan dalam ertikata, Umno tidak boleh jadi bulldoze, tidak boleh berbuat sesukahati, jika mahukan kerjasama dalam BN kekal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum.

Dalam ertikata lain, seluruh komponen BN menolak 'ketuanan Umno'. Mereka menolak ketuanan Umno kerana Umno sering menggunakan perjuangan Melayu sebagai alat untuk mengapi-apikan perasaan perkauman dalam negara.

Bagi komponen BN, mereka tidak bersetuju dengan perjuangan ekstremisme kaum, khususnya yang dipelopori parti Umno.

Bagi mereka Umno tidak harus dictate atau memonopoli semua jawatan penting dalam kerajaan dan seharusnya mengamalkan sikap toleran kepada semua pemimpin parti komponen.

Dalam ucapannya, Datuk Seri S Samy Vellu yang mewakili MIC menggesa BN mengamalkan prinsip 1Malaysia. Gesaan ini dibuat dipercayai berasaskan kepada ketidakpuasan hati kalangan kaum India terhadap dominasi Umno.

Yang jelas dari gesaan ini ialah, konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan Perdana Menteri hanyalah suatu retorik yang tidak berpaksi kepada hakikat.

Manakala Presiden MCA, Dato' Seri chua Soi Lek berpendapat, tidak harus ada 'abang adik' dalam Umno. Dalam ertikata lain, secara sinisnya beliau memberitahu Umno, bahawa MCA tidak bersetuju dengan senioriti yang diamalkan dalam BN sekarang.

Suara yang keras, yang sebenarnya menenggelamkan usaha menonjolkan kehebatan konvensyen BN, datang dari Gerakan.

Dalam reaksi yang tegas, Timbalan presiden Gerakan, Chang Ko Youn, menggesa dibubarkan parti-parti komponen BN sebagai langkah pertama bagi menamatkan politik perkauman di negara ini.
"Politik perkauman memecahbelahkan dan mendatangkan lebih mudarat daripada kebaikan dalam masyarakat majmuk ini.

"Saya gesa parti komponen BN mengkaji semula kedudukan mereka dan perlembagaan dengan membubarkan halangan perkauman dan meminda undang-undang bagi membolehkan semua rakyat Malaysia tanapa mengira bangsa, jantina, warna atau agama menjadi ahlinya," kata Chang.

Tambahnya, Gerakan juga mendesak semua parti komponen BN yang masih menerima kaum tertentu supaya meminda perlembagaan masing-masing dan menerima semua rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin yang juga anak kepada Tun Dr Lim Kheng Yaik (bekas Presiden Gerakan), paling lantang membidas Umno yang dilihat menjadi 'tuan' dalam BN.

Beliau membidas Umno dengan mengatakan 'simbol dacing BN yang berat sebelah'. Beliau memberi sindiran tajam terhadap Umno dengan simbol daging BN berat sebelah akibat sikap tidak adil Umno terhadap parti-parti komponen dalam gabungan itu sendiri.

"Mungkin kita (BN) kalah dengan teruk pada pilihan raya 2008 kerana BN tidak dilihat sebagai adil,” katanya.
Si Pin dengan jelas membidas Umno dengan mengatakan bahawa jawatan-jawatan utama dalam BN hanya diboloti oleh satu atau dua parti sahaja.

"BN sebagai satu komponen seharusnya membuat polisi-polisi untuk semua dan bukannya untuk satu atau dua parti sahaja. Di negara ini, ada yang kata hak asasi kita masih bukan merupakan hak. Seperti contoh dalam pendidikan dan agama. Tidakkah sepatutnya semua parti dirujuk sebelum sesuatu keputusan dibuat?" soalnya.
Inilah hakikat yang disembunyikan oleh media talibarut BN sebenarnya. Iaitu, tujuh prinsip yang digariskan dalam piagam BN hanyalah suatu ilusi yang fatamorgana.

Konvensyen BN tidak mencapai matlamat kerana, ianya hanyalah pengulangan rasa kekesalan komponen BN, hasil daripada dasar atau polisi yang gagal selama ini.

Konvensyen BN gagal menghasilkan suatu pembaharuan. Ia kekal ditakuk lama kerana selepas 50 tahun berkuasa anggota komponen

BN tidak dapat menerima ketuanan Umno.

Mereka kekal dalam BN, hanya semata-mata untuk mempertahankan kepentingan individu tertentu yang mendapat faedah besar, daripada nikmat kuasa sebagai kerajaan selama ini.

Fakta yang tidak dapat disembunyikan pada pandangan rakyat ialah, BN sebenarnya sebuah gabungan yang longgar dan rapuh.

BN hanyalah seumpama istana pasir yang indah dibina di tepi pantai, menanti masa untuk dipupuskan oleh deruan ombak kecil sewaktu air pasang.

Sekali air bah, sekali pantai berubah, membawa istana pasir BN lenyap ke dalam lautan. Inilah hakikat yang menimpa BN pada PRU ke-13 nanti, insya Allah.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...