Followers

Surau Al-Hidayah Rawang : Demonstrasi hanya provokasi

Saturday, December 25, 2010

BANDAR BARU SELAYANG – Demonstrasi bantahan terhadap Surau Al-Hidayah, Kampung Melayu Pekan Rawang yang dikatakan bakal dirobohkan hanyalah provokasi.

Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Mohamad Abdul Rahman berkata, tujuan demonstrasi pihak tertentu berhubung surau itu, hanya mencari populariti murahan bagi menghasut rakyat membenci dan keliru, kononnya Pakatan Rakyat (PR) tidak prihatin isu agama Islam.

“Rakyat kini semakin cerdik menilai. Pihak berkenaan hanya mahu membuat provokasi dengan menguar-uarkan kepada penduduk Rawang, seolah-olah berlaku kelemahan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri sekarang, menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di Pekan Rawang jatuh ke tangan syarikat swasta.

“Kita bukan sekadar mempertahankan tanah, tetapi lebih daripada itu kesucian Islam,” katanya selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Permuafakatan Nazir-Nazir Masjid Selayang berkata, pihaknya menyokong kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan pelan pembangunan tapak seperti dituduh.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti mereka menghadiri demonstrasi yang majoritinya terdiri pimpinan tertentu termasuk Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Datuk Zainal Abidin Sarkom, yang penglibatannya disifatkan tidak wajar.

Katanya, kenyataan semasa demonstrasi menghentam Kerajaan Negeri itu tidak berasas dan memakan diri kerana kini, daripada rakyat tidak tahu menahu, ia sebenarnya memecahkan tembelang pihak terlibat.

“Tanah terlibat dalam projek pembangunan itu sebenarnya dimiliki oleh satu syarikat yang akan menjalankan projek bersama sebuah syarikat swasta. Rekod menunjukkan syarikat yang dimaksudkan bukan lagi anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor semenjak 2002 lagi.

“Sebenarnya bukan setakat Surau Al-Hidayah sahaja kita sentuh, tetapi ada beberapa perkara lain berkaitan dengan tanah dan agama Islam di Rawang dan Pas Selayang akan cuba membongkar isu berkaitan,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti termasuk tergadainya sebahagian tanah Masjid Nurul Iman Rawang untuk pembinaan jalan oleh syarikat swasta sama.

Menurutnya, ini termasuk tanah surau dan rizab kubur di Rawang yang sudah digazetkan telah bertukar status, di mana ia dikatakan berlaku semasa pemerintahan Kerajaan Negeri lalu.

“Mungkin tidak ramai tahu sejarah Surau Al-Hidayah di Kg Melayu, Rawang termasuk kronologi surau itu. Oleh itu pihak kami meminta rakyat dan penduduk sekitar Rawang tidak mudah percaya kenyataan dikeluarkan pihak tertentu.

“Mereka yang mahukan maklumat lanjut boleh merujuk Pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang sebagai penaung semua surau di dalam pentadbirannya,” katanya.

Mohamad juga menggesa penilaian rakyat sebaiknya kerana sepanjang PR memerintah tidak pernah berlaku lagi perobohan masjid dan surau begitu juga rumah ibadah bangsa agama lain. Katanya, masjid dan surau kini juga sentiasa diimarahkan oleh rakyat, berbeza berbanding masa pemerintahan sebelum ini.

Menurutnya sehubungan itu, pihaknya menyokong Kerajaan Negeri agar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut berkenaan isu Surau Al-Hidayah.

“Siasatan ini termasuk dari sudut pengutipan sewa kepada gerai di tapak surau itu dan bayaran yang disalurkan ke tabung surau.

“Insya-Allah kami akan sentiasa memberi kerjasama bersama dengan pihak Kerajaan Negeri untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam demonstrasi 19 Disember lalu, Penasihat Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH), Datuk Ir Md Nasir Ibrahim mempertikaikan tapak surau yang juga rizab masjid terbabit didakwa dipecahkan kepada lapan lot, manakala lima daripadanya dikatakan sudah ada pembeli.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...