Followers

Calon Pas di Merlimau akan dibincang Ahad ini

Thursday, February 10, 2011

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kepimpinan pusat Pas akan bermesyuarat pada hari Ahad ini bagi memutuskan siapa calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Merlimau.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, bagaimanapun mereka tidak akan mengumumkan nama calon berkenaan selepas mesyuarat itu, sebaliknya ia akan diumumkan kemudian nanti, mungkin sejurus sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari.

"Sehingga kini kami belum terima senarai lagi, masih menunggu senarainya daripada Pas Melaka, kami jangka akan terimanya tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan antara nama-nama yang tersenarai untuk dihantar kepada kepimpinan pusat ialah Setiausaha Dewan Muslimat Pas Melaka, Kintan Man; Ketua Perhubungan Pas Melaka, Kamaruddin Sidek; Ketua Bahagian Jasin yang juga bekas calon DUN Merlimau, Jasme Tompang dan Timbalan Ketua Bahagian Jasin Yuhaizan Abdullah.

Bagaimanapun semasa ditanya sekiranya Pas akan menimbangkan untuk meletakkan calon wanita Mustafa berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat hari Ahad ini.

"Kami akan kaji perkara ini, mungkin ada calon wanita, mungkin tidak, kerana kami perlu lihat dulu calon-calon yang berpotensi," katanya dan menambah apa yang penting Pas sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN meninggal dunia pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac ini jika ada pertandingan.

Pada pilihan raya 2008 lalu Mohamad Hidhir menewaskan Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

- BERNAMA

1 comments:

TESLAMARIN said...

mohon link blog saya. http://dan-teslamarin.blogspot.com

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...