Followers

Enakmen hiburan Kedah hanya untuk orang Islam - Hadi

Sunday, July 17, 2011

KUALA LUMPUR 17 Julai - Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadan ini oleh Kerajaan Kedah hanya terhad kepada orang Islam sahaja, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, perkara itu dijelaskan oleh wakil kerajaan negeri Kedah, iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Mohd Sanusi Md Noor dalam satu sesi penerangan kepada Ahli Jawatankuasa Pusat Pas yang bermesyuarat hari ini.

"Pusat hiburan di Kedah akan beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.


"Pas ambil jalan terbaik... iaitu tidak menghalang hak orang bukan Islam (dan) dalam masa yang sama orang Islam tidak boleh mengerjakan maksiat,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, keputusan itu dipersetujui pengusaha pusat-pusat hiburan di negeri itu yang bersedia diambil tindakan termasuk ditarik balik lesen perniagaan, jika premis itu dikunjungi orang Islam.

Abdul Hadi berkata, hasrat sebenar pelaksanaan undang-undang itu bertujuan mencegah orang Islam melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadan.

Bagaimanapun, beliau berkata kekeliruan berlaku ekoran laporan media yang didakwanya “tidak menyiarkan laporan tepat”, sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Sementara itu, Mohd Sanusi, yang ditemui pemberita kemudian, berkata penguatkuasaan enakmen itu adalah tanggungjawab pihak polis.

Rabu lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 dilaksanakan sepenuhnya pada bulan Ramadan tahun ini.

Pengumuman itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk MCA, Gerakan dan rakan parti pakatan pembangkang, DAP.

Isu itu dikatakan telah diselesaikan selepas Azizan bertemu wakil pusat hiburan semalam dan bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...