Followers

Mengutuk Campurtangan Politik Di UIAM

Tuesday, October 25, 2011

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk tindakan pihak pentadbiran Univesiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah undang-undang universiti itu. DPPM menganggap tindakan ini sebagai keterlaluan, kejam dan berniat jahat terhadap seorang kakitangan universiti yang diperakui sebagai pakar perlembagaan di Malaysia.

DPPM merasa sedih kerana UIAM sanggup diperkudakan sedemikian rupa demi kepentingan politik pihak tertentu. Bagi DPPM, kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Aziz Bari adalah dalam bidang pengetahuan beliau selaku profesor undang-undang dan masih di bawah kerangka perlembagaan Malaysia. Sebagai seorang yang pakar dalam perlembagaan Malaysia, beliau berhak mengeluarkan kenyataannya yang tidak bermaksud untuk mengguris mana-mana pihak termasuk DYMM Sultan Selangor sendiri. UIAM dan semua pihak perlu melihat kenyataan beliau dari kacamata akademik, bukan dari sudut emosi semata-mata.
UIAM sepatutnya berbincang dahulu dengan beliau sebelum membuat sebarang keputusan dan menerima pandangan beliau dengan hati terbuka. Wacana ilmiah, debat terbuka, seminar akademik secara terbuka perlu dibuka seluas-luasnya bagi ahli-ahli akademik seperti Prof Dr Aziz Bari kemukakan pandangannya. Ia juga boleh dinilai oleh rakyat untuk menerimanya.

Tindakan menggantung beliau dari UIAM merendahkan tahap intelektualisme universiti tempatan dan menggambarkan betapa tertutupnya minda sesetengah pemimpin dan pentadbir universiti. Sudahlah universiti tempatan jatuh merudum dari segi pencapaian antara universiti terbaik di dunia, sifat keterbukaan pula ditutup dari minda pentadbir UIAM. Integriti dan wibawa UIAM kini tercalar teruk dan rakyat meletakkan suatu persepsi bahawa UIAM kini telah menjadi ‘pak turut’ sesetengah pemimpin politik di negara ini.

Justeru, DPPM mendesak UIAM membebaskan Prof Dr Abdul Aziz Bari dari penggantungannya. Jasa-jasa dan sumbangan beliau selama 22 tahun berkhidmat di universiti berkenaan perlu dikenang semula. Atas nama beliaulah nama UIAM harum di pentas antarabangsa dan menjadi antara universiti yang disegani di rantau ini. Sesungguhnya rakyat, mahasiswa, pensyarah, alumni bahkan kakitangan seluruh universiti di negara ini berdiri teguh di belakang beliau dan menyokong beliau sepenuhnya.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...