Followers

Pindaan Auku : Mahasiswa Diajak Bersama Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan

Sunday, November 27, 2011

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

DPPWP berharap pengumuman PM kali ini benar-benar realistik dan tidak hipokrit. Ini kerana rakyat sudah dua kali terkena dengan pengumuman palsu PM, iaitu apabila beliau mengumumkan telah memansuhkan ISA tetapi ada individu baru yang ditahan ISA selepas pengumumannya dan Akta Perhimpunan Aman yang dikatakan untuk membolehkan rakyat berhimpun secara aman, tetapi hakikatnya menyekat rakyat berbuat demikian. DPPWP khuatir jika PM gagal sekali lagi mengotakan janji dalam isu AUKU ini, maka selamanya rakyat tidak akan percaya kepada beliau lagi.
DPPWP percaya penglibatan mahasiswa dalam politik akan mematangkan mereka dan tidak akan merencatkan mereka dalam pencapaian akademik. Mahasiswa adalah pemimpin negara di masa hadapan, justeru mereka perlu didedahkan dengan iklim politik di luar supaya mereka boleh berfikir dan bertindak sesuai dengan peruntukan undang-undang. Mahasiswa adalah pencorak masyarakat, dan mampu merubah landskap negara. Dunia menyaksikan mahasiswa adalah penentu kemajuan atau kejatuhan sesebuah negara.

Dengan pengumuman ini, DPPWP mengharapkan mahasiswa tidak akan merasa bimbang untuk menyertai PAS kerana ia adalah jaminan PM untuk membenarkan mahasiswa aktif berpolitik. Untuk itu, DPPWP mengalu-alukan penglibatan mahasiswa dalam PAS khususnya bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. DPPWP yang semakin mengorak langkah memerlukan tenaga dan nafas baru bagi mengukuhkan kekuatan di ibu kota Kuala Lumpur. Banyak aktiviti sedang dirancang bagi membina hubungan yang baik antara anak-anak muda Kuala Lumpur dengan DPPWP, dan mahasiswa adalah agen penting bagi memainkan peranan tersebut. Organisasi DPPWP akan lebih diperkukuh dengan adanya idea dan pandangan baru dari mahasiswa.

Selain itu, DPPWP akan membuka keahlian kepada mahasiswa untuk menyertai pilihanraya umum ke 13 sebagai sukarelawan pilihanraya pemuda Wilayah Persekutuan. Mahasiswa di setiap peringkat akan diberikan tugas sesuai dengan kemampuan mereka, daripada peringkat dalaman sehinggalah menjadi penceramah utama. Bagi mahasiswa yang berasal dari Kuala Lumpur dan telah berumur 21 tahun ke atas, DPPWP meminta agar mereka segera mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka mengundi dalam PRU ke 13. Undi generasi muda yang bakal mengundi kali pertama, terutamanya mahasiswa, amat penting bagi memastikan perubahan berlaku dalam PRU ke 13 nanti.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZTimbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...