Followers

Pas gempur habis-habisan

Friday, June 28, 2013

KUALA TERENGGANU – Pas sudah sedia hadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut dan akan gempur kawasan milik BN itu habis-habisan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, pihaknya akan bekerja keras kerana dalam situasi perbezaan hanya dua kerusi antara PR dan BN, kejayaan di Dun Kuala Besut amat penting bagi parti itu.

Menurutnya, walaupun Dun Kuala Besut kubu kuat BN, tidak mustahil Pas boleh menawan kerusi itu berdasarkan pengalaman.

Pas pernah menang di Dun Kuala Besut dua kali, iaitu pada 1969 dan 1999 serta mengharapkan kejayaan kali ketiga.

“Kita akan kerja keras untuk capai kemenangan. Pokoknya kita nak tambah undi (majoriti) kita lebih daripada BN,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Pas Terengganu di Kuala Ibai, di sini, semalam.

Kerusi Dun Kuala Besut kosong setelah penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia pada jam 10.18 pagi kelmarin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat komplikasi paru-paru.

Dr A Rahman berjaya pertahan kerusi Dun Kuala Besut ditandinginya sejak PRU 2008 menewaskan calon Muslimat dari Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kemenangan beliau turut menyumbang kepada kekuatan Umno dan BN di Besut apabila semua kerusi di Parlimen Besut dimenangi calon BN, selain turut bantu kerajaan BN terus kekal di negeri ini dengan majoriti mudah melalui kemenangan 17 daripada 32 kerusi Dun.

Dalam pada itu, Mohd Abdul Wahid, yang juga Adun Wakaf Mempelam berkata, pihaknya ambil tindakan awal dengan aktifkan semula jentera parti, terutama di Besut.

Beliau berkata, semua jentera parti diminta membuat persiapan awal menghadapi PRK Dun Kuala Besut yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) nanti.

Bagaimanapun katanya, calon yang akan mewakili Pas bertanding di kerusi itu belum dibincangkan dan ia akan diputuskan selepas mendapat pandangan daripada semua pihak, termasuk ahli di peringkat akar umbi.

Ditanya mengenai penggunaan dakwat kekal pada PRK Dun Kuala Besut nanti, Mohd Abdul Wahid berkata, Pas tidak bantah, namun harap SPR lakukan penambahbaikan agar dakwat itu benar-benar kekal.

“Kita sokong usaha ketelusan SPR kerana kita tidak mahu ada penipuan. Menang atau kalah ketentuan ALLAH. Kita terima dengan syarat pilihan raya itu berjalan baik dan adil,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...