Followers

Belasungkawa - Sultan Berjiwa Rakyat, Diingati Rakyat

Friday, May 30, 2014

Sukar untuk menyembunyikan rasa hiba tatkala berita kemangkatan Almarhum Sultan Muhibbuddin Azlan Shah menjengah ke ruang udara. Tanpa diduga, berlalulah masa bagi setiap yang bernyawa. Inilah resam berbudi, sepanjang berdetiknya waktu, setiap jasa yang ditaburkan diimbau semula untuk dijadikan kenangan dan makna kehidupan.

Kemangkatan Almarhum Sultan Azlan banyak meninggalkan legasi di persada negara terutamanya dalam bidang politik, perundangan, pendidikan dan sukan. Kehalusan pekerti, ketokohan, kebijaksanaan dan sikap mesra antara ramuan keperibadiannya yang terukir di benak rakyat.


Sepanjang tiga hari berturut-turut, tidak sunyi kita didendangkan dengan khabaran pengorbanan dan sumbangan baginda mewarnai persada negara. Tentunya, makalah kecil ini tidak dapat menitipkan segalanya, namun cukuplah sebagai garapan belasungkawa buat seorang sultan berjiwa rakyat. Harimau mati meninggalkan belang, manusia pergi meninggalkan nama.

Almarhum Sultan Azlan mempamerkan satu penanda aras seorang sultan yang versatil dan berwibawa. Baginda memiliki merit yang tinggi dalam bidang perundangan dan penghakiman. Dilantik sebagai Presiden Mahkamah Persekutuan Malaysia (kini Ketua Hakim Negara) yang termuda dalam sejarah. Malah, pelbagai rekod keputusan penghakiman baginda tercatat sebagai masdar penting samada di dalam mahupun di luar negara.

Baginda turut dikagumi dengan kesarjanaan ilmu. Lihat sahaja bagaimana baginda menumpahkan pelbagai usaha dan inisiatif sehinggakan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya merintis jalan menganjurkan The Sultan Azlan Shah Law Lecture Series (Syarahan Perdana Undang-Undang Sultan Azlan Shah) yang bertaraf dunia. Dedikasi dan semangatnya melambangkan kecintaan kepada ilmu dan budaya intelektual.

Almarhum Sultan Azlan gah dengan sandaran Bapa Hoki Malaysia. Empat puluh tahun baginda meniup semangat juang para atlet hoki untuk menjulang nama negara. Pelbagai posisi pertubuhan hoki di Malaysia, Asia dan antarabangsa digalas demi untuk memartabatkan hoki sehingga menjadi sukan pilihan utama rakyat selain bola sepak. Dalam tempoh itu, Kuala Lumpur berkesempatan menjadi tuan rumah penganjuran sukan hoki Piala Dunia pada tahun 1975 dan 2002.   

Dikesempatan ini, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin merafak jutaan tahniah di atas pertabalan Dr. Raja Nazrin Shah sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan ke 35. Perwatakan baginda juga mirip dengan Almarhum Sultan Azlan. Kami berharap pemerintahan baginda disinari dengan cahaya keadilan dan kebenaran. Sesungguhnya ia mengundang keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.

Buat akhirnya, dititipkan antara mutiara titah Almarhum Sultan Azlan, “Mahkota akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar”.     


Yang Benar,  
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

......
http://tkobloglist.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...