Followers

Hudud : Mari jadi Rakyat Yang Merdeka dan Demokratik

Tuesday, May 27, 2014

Demokrasi meraikan kebebasan bersuara, memilih dan dipilih. Setiap rakyat Malaysia dijamin hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, kita semua akur bahawa perlunya ada ketetapan dan sempadan kebebasan tersebut.

Demokrasi yang terpimpin ialah semua rakyat diberi kebebasan untuk mempunyai pendapat dan kecenderungan yang tersendiri, namun pendapat dan kecenderungan ini mestilah selari dengan undang-undang dan sistem hidup supaya kebebasan ini tidak mengganggu hak orang lain.
Malah, jika kita selami erti demokrasi yang sebenar, perbezaan pendapat inilah yang akan menemukan titik persamaan yang akhirnya dapat dipersetujui bersama. Sekurang-kurangnya, bersetuju untuk tidak bersetuju.

Dalam isu Hudud ini, kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka juga berhak mempunyai pendapat yang berbeza. Begitulah yang berlaku kepada mereka yang bukan beragama Islam, pendapat mereka mengenai Hudud ini perlu diraikan, sekalipun kita tidak bersetuju. Namun, disinilah peluang kita untuk menghidupkan semangat demokrasi yang sebenar, iaitu kita mendengar dari semua pihak, lalu kita ikut yang mana yang terbaik.

Semua pihak perlu memberikan laluan kepada PAS untuk memberikan penerangan dan menyatakan pendapat kami mengenai perlaksanaan undang-undang jenayah Islam, yang terkandung di dalamnya undang-undang hudud. Ini adalah hak kami sebagai rakyat Malaysia, hak kami sebagai yang memegang amanah Kerajaan Negeri Kelantan, juga merupakan tanggungjawab kami sebagai orang-orang Islam.

Kerajaan juga perlu memberikan ruang yang seluas-luasnya untuk penerangan ini sampai ke telinga dan mata setiap rakyat Malaysia agar setiap rakyat Malaysia mampu membuat penilaian dan pilihan yang terbaik untuk Negara Malaysia, dan Negeri Kelantan khususnya. Apalah ertinya demokrasi, jika penilaian yang dibuat secara membuta tuli, dan hanya mendengar dari sebelah pihak yang begitu sensitif dengan perlaksanaan undang-undang Hudud ini.

Semoga pencerahan dan penerangan yang diberikan, dapat membantu kita membuat pilihan yang terbaik sebagai rakyat Malaysia yang merdeka dan demokratik.

Ustaz Haji Muhammad Ismi B Hj Mohd Taib
AJK Dewan Ulama PAS Malaysia,
Yang DiPertua PAS Kawasan Parit.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...