Followers

PAS Berdiri Teguh, Menjunjung Kasih Sultan Mizan Zainal Abidin

Wednesday, May 21, 2014

PAS Terengganu menjunjung kasih atas titah Sultan Mizan Zainal Abidin dan menggesa kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengambil perjalanan dan tindakan segera.

Pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 13 April lalu, titah baginda yang kami percaya merupakan arahan, perlu dititik beratkan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Sultan mahu kerajaan Terengganu memberikan fokus kepada soal 'good governance', urus tadbir yang baik dalam semua aspek perjalanan kerajaan termasuk menekankan soal integriti dan akauntabiliti kepada pemimpin kerajaan negeri.

Baginda bertitah, kurangnya persefahaman, kerjasama dan perpaduan diantara kerajaan dan rakyat akan menyebabkan pembangunan negeri 'terencat'.

Sehubungan itu, PAS suka menarik perhatian MB baharu supaya tidak mengulangi kesilapan mantannya dalam soal kira bicara dengan rakyat.

Dua contoh projek pembangunan, pembinaan jalan melibat penduduk Kampung Banggol Donas dan pembinaan jalan Kampung Pasir Putih adalah jelas bertentang dengan prinsip-prinsip integriti dan akauntabiliti sebagaimana dititahkan Tuanku Sultan.

Bahkan kes pembinaan jalan di Kampung Banggol Donas telah dinyatakan dengan jelas dalam Laporan Ketua Audit Negara tahun 201, pada muka surat 37 di bawah tajuk Agensi Pemohon Tidak Mengisytiharkan Pengambilan dan tidak diwartakan Di Bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.

Banyak lagi projek-projek dibawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Said yang tidak menepati prinsip-prinsip yang integriti dan akauntabiliti umpamanya pemberian tender projek-projek pembangunan tasik Kenyir yang melibatkan kos RM300 juta, pembelian Strawberry Park melibatkan RM26 juta dan pembelian Manis FM yang melibatkan wang rakyat RM7 juta.

PAS juga kesal dengan tindakan kerajaan negeri apabila Yang Dipertua DUN menolak usul supaya DUN membincangkan soal perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M yang telah diluluskan dan direstui Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tujuan PAS membentangkan usul itu adalah supaya syariat didaulatkan di negeri Terengganu Darul Iman, sejajar dengan saranan Tuanku ketika baginda bertitah merasmikan sambutan tiga abad pentadbiran Islam Ahad lalu.

Titah tuanku membayangkan hasrat tuanku yang amat tinggi untuk melihat negeri jajahan baginda melaksanakan syariah Islam, mengembalikan kegemilangan pemerintah Islam dan perlaksanaan syariat oleh moyang baginda Sultan Zainal Abidin I, sejak 300 tahun yang lampau.

Sekaligus mengukuhkan Undang-undang bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu 'Itqan al-Muluk bi ta'di as-Suluk' yang ditulis sendiri oleh Sultan Zainal Abidin III bertarikh 11 Zulkaedah 1329H bersamaan 2hb November tahun 1911.

Baginda pasti telah mendengar usaha yang telah diambil oleh negeri Aceh DarusSalam yang juga mempunyai ikatan silaturRahim kekeluargaan dengan kesultanan Terengganu Darul Iman.

Begitu juga dengan Brunei Darul Salam yang telah pun menguatkuasakan Fasa Pertama Perlaksanaan Undang-undang Syariah, ditunjang dengan kekuatan Baginda Sultan Hasanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah.

Negeri Terengganu juga terbukti dalam sejarah sebagaimana yang dicatatkan atas 'Batu Bersurat', undang-undang seorang raja yang menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam, telah terpahat sejak 700 tahun dahulu.

Oleh itu, sayugialah, Terengganu yang digelar Darul Iman, yang mendapat jolokan sebagai 'Serambi Madinah' melaksanakan sepenuhnya Undang-undang Islam yang telah pun diwartaan sebagai Undang-undang Tertinggi bagi negeri ini.

PAS sedia memberi kerjasama dan menyataka sokongn padu kepada kerajaan negeri Terenganu sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh meletakkan usaha dan tindakan mendaulatkan Islam dan yakin negeri ini bukan hanya akan bergerak maju dengan pembangunan dan kemajuan bahkan lebih penting daripada itu, Darul Iman akan benar-benar mendapat kredhaan daripada Ilahi.

Justeru saya bersama kepimpinan PAS Terengganu serta seluruh rakyat Terengganu berdiri teguh, menyokong setulus dan sepenuhnya titah tuanku agar kerajaan negeri menyediakan satu perancangan strategik dan secara holistik dalam usaha mendaulatkan syariah dari semasa ke semasa.

MENJUNJUNG KASIH TUANKU!

YB Haji Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
21 Rejab 1435H/ 20 Mei, 2014

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...