Followers

Amukan Tok Gajah Julang Piala FA 2014

Sunday, June 8, 2014

Pemuda PAS Malaysia (PPM) mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang kerana telah menjuarai Piala FA bagi sesi 2014. Kemenangan ini merupakan kejuaraan kali kedua Pahang dalam edisi Piala FA.

Meskipun pada peringkat awal kemenangan hampir berpihak kepada pasukan Felda United namun dalam bola sepak, apa-apa pun boleh terjadi. Natijahnya, kemenangan berpihak kepada pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan ini dalam persaingan yang mendebarkan. Dalam bola sepak juga membuktikan bahawa jaringan awal tidak menjaminkan kemenangan yang mutlak. Kemasukan Faizol menggantikan Mathias Conti jelas merubah segala-galanya. Justeru, Faizol layak dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2014.

Pujian juga harus diberikan kepada pasukan Felda United yang saban masa berusaha merobek pertahanan pasukan Pahang. Walaupun Pahang dilihat menguasai perlawanan seusai awal permainan, namun jaringan awal Felda United jelas membuktikan pasukan bertaraf kelab bukanlah calang-calang pasukan. Felda United adalah pasukan kelab kedua mara ke perlawanan akhir Piala FA selepas Sime Darby.

Tidak ketinggalan sekalung pujian harus diberikan kepada penyokong kedua-dua pihak yang jelas menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Tiada sebarang provokasi, letupan bom dan pelbagai aksi yang tidak diingini sepanjang perlawanan akhir ini. Jelas menunjukkan bahawa penyokong kita telah mencapai tahap kematangan yang tinggi. Pemuda PAS Malaysia berharap semangat ini dapat dikekalkan pada musim-musim yang akan datang. Kehebatan sesebuah pasukan haruslah diiringi dengan kematangan penyokong.

Pemuda PAS Malaysia juga melihat perlawanan akhir Piala FA 2014 ini sebagai langkah pertama kepimpinan FAM yang baru yang dipimpin oleh Yang Amat Mulia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam memartabatkan pasukan bola sepak Malaysia. Tidak dinafikan ranking bola sepak negara kian merudum. Namun, Pemuda PAS Malaysia optimis dengan kepimpinan FAM yang baru ini, bisa melonjakkan kedudukan tangga Malaysia. Kami, Pemuda PAS Malaysia jua menyokong sebarang usaha yang dilakukan demi meningkatkan mutu dan keunggulan bola sepak Malaysia sama ada oleh FAM mahupun Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Apa yang penting, kita ingin melihat Harimau Malaya digeruni di peringkat antarabangsa.

Akhir sekali, Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang dan seluruh pihak yang terlibat di dalam menjayakan perlawanan akhir Piala FA 2014. Tahniah dan syabas diucapkan

Yang Benar, 
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia



......
http://tkobloglist.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...