Followers

Pemuda PAS WP Anjur Santai Kaki Bola & Jom Tonton Bola

Tuesday, June 10, 2014

Hanya tinggal beberapa hari lagi sepak mula Piala Dunia 2014 akan bermula. Sana sini kedengaran program-program dan acara-acara bagi meraikan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia ini. Pertandingan bola sepak peringkat dunia yang hanya diadakan 4 tahun sekali ini bagaikan suatu pesta yang mesti diraikan oleh semua negara. 

Tidak ketinggalan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan turut bersama-sama warga dunia yang lain menambahkan kehangatan yang melanda. Justeru, kami Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Santai Kaki Bola khusus untuk para peminat bola sepak dalam menyambut kehadiran Piala Dunia 2014 ini. Santai Kaki Bola akan diadakan pada hari Rabu, 11 Jun bertempat di Restoran Awwal Maju, Sri Rampai, Setiawangsa. Program ini akan diadakan seawal jam 9 malam. 

Apa yang menarik dalam Santai Kaki Bola ini nanti ialah akan diadakan pertandingan permainan komputer 'FIFA'. Setiap peserta akan beradu kehandalan bermain bola sepak di alam maya. Pertandingan ini akan diadakan di restoran tersebut dan akan ditayangkan menggunakan layar lebar. Selain itu, turut diadakan ialah acara timbang bola sepak dan acara menjaringkan gol menggunakan kaki belakang.

Program Santai Kaki Bola ini dijangkakan akan tamat jam 11.30 malam nanti. Namun, program sambutan Piala Dunia 2014 anjuran Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan tidak hanya terhenti setakat itu. Kami juga menganjurkan acara menonton setiap perlawanan yang berlangsung setiap hari. Acara ini diadakan sepanjang kempen Piala Dunia ini. Ianya bertempat di Markaz Amal WP, No 21, Jalan Pria, Taman Maluri, Kuala Lumpur. Apa yang menarik dalam program menonton beramai-ramai ini ialah diadakan tazkirah ringkas, qiam dan solat subuh beramai-ramai. Ianya bertujuan untuk mendidik jiwa-jiwa muda ini untuk bangun malam bukan semata-mata kerana bola tetapi juga untuk beribadah kepada Yang Maha Esa. Itulah yang ingin diterapkan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. 

Justeru itu, saya mewakili Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru kepada semua kaki-kaki bola di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur khususnya untuk beramai-ramai hadir di kedua-dua program di atas. Kami berharap program yang diadakan ini bukan sahaja mampu memberikan kepuasan buat peminat bola sepak bahkan juga mampu mendekatkan anak-anak muda kepada Allah SWT. Ayuh kita hangatkan hati nurani kita bersama Allah SWT seiring hangatnya sambutan Piala Dunia 2014!

Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan



......
http://tkobloglist.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...