Followers

PRK Teluk Intan: Tunggu Mesyuarat Majlis Presiden PR

Wednesday, June 4, 2014

Pemuda PAS Perak merasa kecewa dengan kenyataan terbuka Ahli Parlimen DAP Kawasan Puchong, Gobind Singh Deo yang juga Pengerusi Undang-Undang DAP yang menjadikan faktor kekalahan calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P076 Parlimen Kawasan Teluk Intan iaitu Dyana Sofya Mohd Daud berpunca dengan isu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah atau Hukum Hudud.

Adakah benar isu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah atau Hukum Hudud adalah penyebab kekalahan calon DAP tersebut yang hanya kalah tipis sebanyak majoriti 238 undi sahaja?

Adakah satu kajian atau fakta lengkap tentang sokongan DAP yang boleh dikemukakan bagi membuktikan dakwaan tersebut oleh Gobind? Kami menunggu perbentangan kajian daripada Gobind jika benar dakwaan beliau yang menjadi punca DAP kalah pada PRK Teluk Intan baru-baru ini.

Kami berharap supaya Gobind mengemukakan fakta yang lengkap bagi menyokong dakwaannya yang mengatakan bahawa isu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah atau Hukum Hudud adalah penyebab Dyana tewas baru-baru ini. Beliau yang juga seorang peguam patut faham dan malah mahir, yang kami bimbang suara Gobind menzahirkan pandangan daripada Barisan Nasional (BN) sebenarnya.

Kami juga berharap agar Gobind menunggu agar Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) bermesyuarat dan menunggu hasil ‘postmortem’ yang dikemukakan oleh DAP dan juga PR supaya kita semua tidak ‘termakan jerat’ media untuk ‘memecahkan’ kita.

Kami berharap semua pihak menunggu Majlis Presiden PR bersidang dan membuat kenyataan rasmi tentang keputusan kekalahan PRK Teluk Intan baru-baru ini. Budaya yang dipamerkan oleh Gobind disifatkan ‘tidak sihat’ di dalam PR kerana ianya menyumbang kearah perpecahan dalam PR. Kami berharap Gobind lebih matang dan berhati-hati di dalam kenyataannya di masa yang akan datang. 

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.





......

http://tkobloglist.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...