Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad badminton negara
kerana telah mempamerkan semangat juang yang begitu tinggi semasa
menentang pasukan Jepun malam tadi. Sekalipun terpaksa berputih mata
untuk menamatkan kemarau 22 tahun tanpa Piala Thomas, namun semangat
tidak mudah kalah ini sememangnya harus dipuji.
Skuad yang dibarisi pemain seperti Datuk Lee Chong Wei, Hoo Thien
How, Tan Wee Kiong, Chong Wei Feng, Daren Liew, Lim Khim Wah dan Goh V
Shem sewajarnya mendapat penghormatan yang tinggi.
Mereka bukan sahaja
bermain dengan bersungguh-sungguh malah mampu menewaskan beberapa negara
yang menjadi pencabar utama Malaysia iaitu Denmark dan Indonesia.
Namun, itulah adat permainan. Ada yang menang dan ada juga yang kalah.
Apa sahaja boleh terjadi tanpa diduga. Siapa sangka pasukan Jepun yang
turun sebagai pasukan 'underdog' boleh menjulang Piala Thomas. Sebagai
rakyat Malaysia, tentulah amat perit untuk menerima kekalahan ini.
Bertambah perit lagi apabila terpaksa menunggu 24 tahun pula untuk
berpeluang memenangi Piala Thomas ini. Kemunculan pasukan Jepun ini juga
sekaligus memecah dominasi yang diungguli oleh Malaysia, Indonesia dan
China.
Namun, apa yang boleh diperhati dalam kejuaraan yang berprestij ini
ialah pasukan perseorangan negara masih lagi bergantung kepada kemampuan
Datuk Lee Chong Wei. Pemain perseorangan negara yang lain seperti Daren
Liew dan Chong Wei Feng seakan gugup dalam mengharungi perlawanan akhir
malam tadi. Kemenangan mudah yang dikecapi oleh Datuk Lee Chong Wei
seakan tidak mampu diulangi mereka sedangkan usia Datuk Lee Chong Wei
adalah 31 tahun berbanding mereka yang berumur 26 tahun. Bahkan, Datuk
Lee Chong Wei pernah berkata bahawa inilah pertandingan Piala Thomas
yang terakhir bagi dirinya. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus
menggembleng tenaga baru dalam tempoh 2 tahun ini. Nama-nama baru
seperti Zulfadli Zulkifli dan Misbun Ramdan perlu diketengahkan dan
diberi peluang pengalaman bersama pasukan senior kebangsaan.
Pujian juga harus diberikan kepada skuad beregu kebangsaan.
Persembahan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan Lim Khim Wah/Goh V Shem
nyata tidak mengecewakan. Apa yang menarik, gandingan Hoon Thien How/Tan
Wee Kiong adalah gandingan yang diwujudkan semata-mata untuk kejohanan
ini dan ternyata ianya membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Lihat sahaja skuad Jepun yang dibarisi pemain seperti Kenichi Tago
dan Takuma Ueda. Rata-rata mereka berumur 25 tahun dan ke bawah. Tidak
ketinggalan Kento Momota yang berumur 20 tahun! Justeru, tempoh 2 tahun
ini harus digunakan sebaik mungkin dalam memastikan skuad pelapis ini
mampu memberikan persembahan yang terbaik dalam merampas kembali Piala
Thomas. Ini kerana untuk tempoh 2 tahun lagi, skuad Jepun masih lagi
dikategorikan sebagai masih muda lagi berbanding skuad kebangsaan
terkini yang akan menjangkau usia hampir 30 tahun. Ini sudah pastilah
akan memberikan jurang besar dari sudut stamina dan ketahanan.
Cukuplah penantian selama 24 tahun buat rakyat Malaysia. Piala
Thomas harus dijulang kembali. Tiada yang mustahil dalam misi ini. Saya
berkeyakinan penuh sekiranya skuad Malaysia mengekalkan momentum seperti
kejohanan tahun ini, Piala Thomas pasti menjadi milik rakyat Malaysia
sekali lagi. Ayuh Malaysia, bangkitlah!
Yang Benar,
Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Aduka Taruna dah ada akal rupanya
2 months ago


0 comments:
Post a Comment