Followers

Liwat II: Momentum Reformasi merudum?

Monday, February 8, 2010

Lim Hong Siang

Reformis yang turun ke jalan raya pada tahun 1998 semestinya merindui nostalgia bagaimana bangunan mahkamah dibanjiri lautan manusia yang melaungkan "reformasi". Arus kebangkitan rakyat ketika itu walaupun gagal menghalang orang nombor dua dalam negara, Anwar Ibrahim daripada dimasukkan ke penjara; namun berjaya menumbangkan orang nombor satu dalam negara, Mahathir Mohamad dari tempatnya.

Istilah baru seperti "liwat", "sodomi" menyarat media arus perdana, dengan satu-satunya tujuan untuk mengaibkan seorang makhluk yang bernama Anwar Ibrahim. Maruahnya bersama keluarganya ditelanjangkan di khalayak ramai, sehingga melewati sempadan kesabaran masyarakat tempatan...


12 tahun kemudian, "Liwat II" dimainkan semula, dengan skrip yang agak sama tetapi pelakon yang berbeza. Namun, scene di jalan raya dan kawasan masjid jelas berbeza. Belum ada himpunan manusia yang melebihi ribuan orang di Lembah Klang setakat ini, sebagai sokongan terhadap Anwar Ibrahim sejak "Liwat II" dibicarakan pada 2 Februari.

Kesulitan teknikal

"Kalau awak nak pergi demo dekat mahkamah, awak perlu memandu kereta ke Jalan Duta, macamlah kamu nak pergi ke Putrajaya. Berbeza dengan dulu, sekitar bangunan mahkamah tu ada pejabat. Ramai orang bekerja di situ. Mereka turun saja dan demo," kata seorang "reformis" ketika ditanya mengapa bilangan peserta perhimpunan merosot, khususnya di mahkamah di mana Anwar dibicarakan.

Tetapi bagaimana pula dengan perhimpunan selepas sembahyang di masjid, pada Jumaat yang lalu, dengan bilangan peserta yang gagal mencecah angka seratus pun?

"Itu (keputusan) last minute (minit terakhir). Mereka sebarkan khabar (mengadakan perhimpunan) pada 11 malam (Khamis)..." kata seorang aktivis muda, cuba menjustifikasikannya dengan alasan "tidak sempat".

Perhimpunan semalam di ibu pejabat PKR yang bertempat di Merchant Square, Petaling Jaya "di-aib-kan", apabila tiada polis yang datang menjenguk, apatah lagi FRU dengan trak-nya.

Namun, seandainya diteliti, bukan sahaja penyokong tidak turun ke gelanggang, malah wakil rakyat PKR sendiri tidak turun untuk menunjukkan solidariti kepada Ketua Umum mereka. Antara yang hadir semalam, hanyalah Tian Chua (Batu, juga Pengarah Strategi), Zuraida Kamaruddin (Ampang, juga Ketua Wanita), S.Manickavasagam (Kapar), Amiruddin Bin Shaari (Batu Caves), Gan Pei Nei (Rawang), Lee Kim Sin (Kajang) dan sebagainya, selain Shamsul Iskandar Mohd. Akin dari sayap AMK dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Apa yang sudah terjadi?

Jentera penyebar maklumat lemah

Jikalau "Liwat II" digambarkan sebagai perang hidup-mati antara UMNO-Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat, maka ia sememangnya mencungkil kekhuatiran, dan "keraguan" terhadap PR, apabila jentera sebegini digunakan untuk berperang. Tiada sebarang infomasi dalam laman rasmi PKR berhubung perhimpunan semalam, walaupun ia diberi nama "Malam (Suai Kenal) Himpunan Gerakan Reformasi 98".

Situasi sebenarnya lebih "membeliakkan", apabila sumber dalam parti memberitahu MerdekaReview, bahawa wujudnya perbezaaan pandangan yang ketara antara pemimpin tempatan dengan pemimpin peringkat pusat.

Secara terus terang, sumber ini memberitahu, "...Yang ada sense of crisis tu, hanyalah pemimpin di peringkat pusat. Sesetengah pemimpin di akar umbi masih terlalu optimis, bahawa Anwar tidak akan terjerat dalam kes ini."

"Apa yang selalu dimegah-megahkan oleh golongan ini (pemimpin tempatan) adalah, PR kini menguasai empat kerajaan negeri. Seandainya Najib berani 'mengisytiharkan perang' terhadap PR, kami akan mengerah sumber dan tenaga keempat-empat negeri ini untuk memerangi UMNO-BN habis-habisan!" tambahnya.

Menurut sumber maklumat dalam parti ini, kerana tanggapan bahawa PR masih dalam "keselesaan", maka sesetengah pemimpin tempatan tidak merasai bahang kemungkinan Anwar dipenjarakan. Keadaan ini bertambah dahsyat, apabila ada antaranya berlagak seperti "pembesar PKR", menyebabkan mesej dari pusat gagal sampai ke peringkat akar umbi.

"Misalnya, apabila perhimpunan dirancang, sesetengah pemimpin akan berlagak di depan penyokong akar umbi, 'saya tak tahu pun perhimpunan akan diadakan?!'," sambungnya, "Jadi, benda sekecil inilah yang mengakibatkan kekeliruan. Jentera penyebar informasi gagal berfungsi dengan baik, mesej tidak diselaraskan... Ini yang pening kepala ni!"

Ketidakpuasan "kaki demonstrasi"

Bukan sahaja "kerenah" sesetengah pemimpin seperti yang disebut, Anwar Ibrahim juga perlu berdepan dengan penyokongnya yang turun ke jalan raya semasa tahun 1998. Ramai antaranya yang dibelasah FRU, disembur air meriam kimia, ditembak gas pemedih mata semasa turun ke jalan raya untuk mempertahankan Anwar Ibrahim pada zaman reformasi.

Namun, Anwar Ibrahim, dan juga PKR berdepan dengan kesulitan untuk "menempatkan" golongan ini dalam parti, setelah memperolehi kuasa dalam PRU ke-12. Ketika berucap semalam di depan "reformis" ini, Anwar Ibrahim berkata, "Saudara tahu memang nak jadi wakil rakyat tak dapat. Saudara tahu, nak dapat projek memang tak dapat. Saudara sokong (saya), kerana saudara mahu keadilan dipertahankan."

Sebelum ini, rintihan dan rungutan kedengaran apabila sesetengah reformis ini menuduh bahawa Anwar atau PKR sudah terlupa "jasa dan sumbangan mereka", dan lebih mengutamakan "orang bersijil" untuk menyandang jawatan atau pangkat yang tinggi.

"Ada antara mereka sebenarnya mahukan agar kerajaan negeri yang dikuasai PR, memperuntukkan sumber kepada mereka. Tetapi Anwar dan Khalid Ibrahim (MB Selangor) bertegas dalam isu ini, kerana sedar bahawa mereka dipantau ketat SPRM," jelasnya, "tapi saya perlu mengakui bahawa Khalid Ibrahim tidak begitu peka dalam isu memberi penghargaan kepada golongan ini."

Kini, tenaga "kaki demonstrasi" ini amat diperlukan, seandainya PKR memutuskan untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran, untuk memberi tekanan kepada regim UMNO-BN yang diterajui Najib Razak. Apakah ketidakpuasan golongan ini sempat diredakan, untuk mengerah perhimpunan raksasa yang kedua?

Faktor luaran: PAS dan DAP

Selain faktor dalaman PKR, PAS dan DAP menjadi tumpuan. DAP memang bukan terkenal sebagai parti demonstrasi, lebih-lebih lagi komuniti Cina kini bersiap sedia untuk meraihkan Tahun Baru Cina menjelang Sabtu (14 Februari) ini. Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sibuk menangkis serangan demi serangan daripada UMNO ke atas pentabiran kerajaannya.

PAS pula, yang sering menjadi "jentera mobilisasi" dalam hampir kesemua perhimpunan, kini berdepan dengan "perbezaan pendapat" dalam partinya sendiri. "Maklumlah, PAS kini berpecah dua. Ada yang dikenakan hukuman, ada yang tidak. Bila dah berpecah, susah anda nak mobilisasi rakyat untuk keluar berdemonstrasi. Takut kena label terlalu pro-Anwar pula," kata seorang aktivis kepada MerdekaReview semalam.

Walau bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dzulkefly Ahmad (gambar kanan) menolak persepsi bahawa "PAS kurang komited dalam memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II", sambil memberi bukti bahawa pemimpin utama PAS hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Berdasarkan pengamatan dan pemerhatian dirinya, Dzulkefly Ahmad mendakwa bahawa kes Liwat II ini sebenarnya menimbulkan rasa benci, jelak yang tidak kurangnya di kalangan golongan kelas menengah. Namun, beliau mengambil kira senario stamina perjuangan, keadaan ekonomi dan sebagainya, yang mungkin menjurus kepada kemerosotan bilangan peserta demonstrasi sekarang.

Sambil menyifatkan situasi kini sebagai "simpan tenaga", Dzulkefly Ahmad menjangkakan kebangkitan rakyat di keempat-empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. "...Menunggu masa yang tepat," katanya.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

1 comments:

Anonymous said...

salam tuan...boleh tukar nama my blog dari hamba "~EMPAYAR KUKU BESI" KEPADA "KetuaPolis Online"
tq

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...