Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (PENYEDAR) yakin menjelangnya musim
perayaan terutamanya Sambutan Hari Raya akan timbulnya isu kekurangan
barang keperluan harian dan terdapat juga isu kenaikan barangan
keperluan tersebut. Walaupun baru-baru ini kita telah dikejutkan ianya
telah pun bermula berlakunya di Negeri Kedah setelah dilaporkan oleh
media bahawa Minyak Masak dan Tepung Gandum khasnya telah mula
berkurangan dan telah dilaporkan juga ada pihak yang telah menaikkan
harga yang amat terkesan kepada pengguna semenjak minggu lepas. Terdapat
juga maklumat, perkara yang sama telah berlaku di Daerah Kerian, Negeri
Perak dan kemungkinannya akan turut berlaku di seluruh Perak berikutan
menjelangnya Bulan Ramadhan pada tahun ini.
Oleh kerana dengan alasan kekurangan ataupun dengan istilah catuan
barangan keperluan bersubsidi ini, banyak pihak menjadikannya alasan
untuk menaikkan harga dipasaran yang sekaligus akan membebankan
pengguna. Jika di Kedah, tinjauan harga barangan itu di Pasar Besar,
Alor Setar mendapati minyak masak dijual dengan harga RM3.20 sekilogram
berbanding RM2.50 sebelum ini manakala tepung gandum pula RM1.35 sebelum
ini meningkat kepada RM1.80 sekilogram. Manakala di Parit Buntar pula,
tepung gandum bersubsidi kini dijual pada harga RM1.50 sekilogram
berikutan kesukaran untuk memperolehinya. Dua keperluan tersebut jelas
akan memberikan kesan kepada pengguna terutamanya juadah utama semasa
Bulan Ramadhan iaitu kuih-muih.
PENYEDAR cuba merungkai permasalahan utama pengguna di dalam perkara
ini kerana keperluan harian yang diberikan subsidi oleh Kerajaan
tersebut disalahgunakan atau dengan istilah penyalahgunaan kuasa
pihak-pihak yang terlibat. Dengan menjadikan musim-musim perayaan
sebagai ‘hari mengaut untung’ dengan cara yang salah dan mudah, semua
pihak yang terlibat seolah-olah ‘membantu’ antara satu sama lain.
Pertamanya kepada pihak pengilang yang menjadi rujukan utama pengeluaran
barangan seperti minyak masak dan juga tepung gandum, sudah tentu stok
normal yang diperuntukan dalam tempoh setahun terutamanya minyak masak
akan dikawal melaluinya. Pengeluaran berdasarkan tan metrik setiap
negeri akan memastikan stok minyak masak akan sentiasa mencukupi tanpa
ada terkesan dalam apa keadaan sekali pun khasnya.
Bermula dengan cuti sekolah sudah menunjukkan rasa panik pengguna
setelah dilaporkan minyak masak dan tepung gandum habis dipasaran, ini
belum bermulanya awal Ramadhan dan belum juga Hari Raya yang lebih
mencemaskan semua pengguna nanti. Pihak kedua yang menjadi rujukan
adalah pembekal dan juga pemborong yang menjadi ‘orang tengah’
menguruskan keperluan barangan tersebut. Terdapat juga usaha pihak yang
tidak bertanggungjawab telah melaksanakan sistem kouta yang memberikan
kesukaran kepada ‘orang tengah’ ini untuk menyalurkan barangan keperluan
tersebut kepada Pasar Raya Besar ataupun kecil dan juga peruncit. Malah
sistem monopoli juga dikenakan yang akan mengakibatkan harga pasaran
yang boleh ‘dimainkan’ untuk dinaikkan bila tiba masanya seperti musim
perayaan.
Ada yang telah mengatakan kerana bermulanya musim cuti persekolahan
adalah penyebab kekurangannya minyak masak di pasaran dan juga tepung
gandum kerana terlalu banyak permintaan. Agak pelik alasan tersebut,
adakah juga kerana pengguna telah membeli barangan keperluan melebihi
penggunaan harian mereka? Adakah juga pembekal kuih-muih telah mula
memasarkan produk mereka dipasaran menjelangnya bulan Ramadhan ini
sebelum tibanya Hari Raya? Memungkinkan permintaan luar biasa kuih-muih
sebelumnya tiba musim perayaan yang mengakibatkan kekurangan barangan
keperluan? PENYEDAR meminta pihak berkuasa bertindak segera dan tegas
kerana pihak yang berkepentingan telah awal melakukan kesalahan dan
melanggar undang-undang yang perlu dihukum.
PENYEDAR meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna membenteras penyalahgunaan dana kerajaan ini dengan cara salah
dan perlu tindakan drastic serta tegas. Jangan izinkan perkara ini
berlaku mengikut musim seolah-olah pihak kerajaan mudah ‘dimainkan’ oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut. Hapuskan pihak yang
berkepentingan dan cuba ‘mengaut untung mudah’ kerana telah melanggar
undang-undang tanpa merasa bimbang tidak kira siapa. Kepada pengguna
awam yang ditindas oleh kelemahan penguatkuasaan, anda harus menjadi
‘mata dan telinga’ bagi melaporkan salahguna kuasa yang
sewenang-wenangnya berlaku. PENYEDAR melalui sukarelawan di seluruh
Daerah di Perak akan membantu pihak kerajaan menyalurkan maklumat supaya
diambil tindakan susulan kelak.
HAJI ASMUNI AWI
Pengerusi,
Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak.
......
http://tkobloglist.blogspot.com
Aduka Taruna dah ada akal rupanya
4 weeks ago


0 comments:
Post a Comment