Oleh SAPINAH AB GHANI
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan
mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan hudud punca kekalahan DAP pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan daripada penasihat parti itu, Lim
Kit Siang yang akan menemuinya Sabtu depan.
Menurutnya, beliau tidak boleh mengulas isu berkenaan sebelum mendapatkan penjelasan mengenainya daripada Kit Siang.
“Kit Siang akan datang Sabtu ini, jadi kita tunggu hari itu. Saya tak
boleh sebut (jawab) hari ini (semalam) kerana dia (Kit Siang) hendak
datang Sabtu ini,” katanya kepada media selepas menyampaikan Kuliah
Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.
Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli
Parlimen Puchong (DAP), Gobind Singh Deo yang menyifatkan isu
pelaksanaan undang-undang Islam oleh Pas yang juga komponen dalam
Pakatan Rakyat, sebagai faktor Dyana Sofya Mohd Daud tewas dalam PRK
Teluk Intan hujung Mei lalu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah sebelum ini menyangkal
dakwaan tersebut dan menasihatkan DAP agar mengakui kesilapan sendiri
dan tidak meletakkan kesalahan pada orang lain.
Menurutnya, pemilihan Dyana Sofya yang merupakan orang Melayu
menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi Cina
menyebabkan berlaku undi protes dengan tidak mengundi DAP.
Keputusan PRK Teluk Intan menyaksikan Dyana Sofya tewas kepada calon
Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 238 selepas
memperoleh 19, 919 undi.
PRK Teluk Intan diadakan selepas kematian Seah Leong Peng (DAP) akibat barah 1 Mei lalu. - SH
......
http://tkobloglist.blogspot.com
Aduka Taruna dah ada akal rupanya
4 weeks ago


0 comments:
Post a Comment