Kurang sepuluh hari lagi penduduk bumi ini akan meraikan kedatangan
Piala Dunia 2014. Pertandingan bola sepak yang berprestij yang
ditunggu-tunggu setiap 4 tahun sekali. Pelabagai persiapan dan program
dirancang di seluruh dunia bagi sama-sama meraikan dan menyokong pasukan
negara pilihan masing-masing. Tidak ketinggalan juga di Malaysia,
kehangatan Piala Dunia 2014 kian membahang. Lihat sahaja di kaca-kaca
televisyen dan di dada-dada akhbar, tidak sedikit berita dan iklan
berkenaan Piala Dunia ini.
Namun saya melihat Piala Dunia kali ini mempunyai keunikannya. Jika
siri sebelum ini kita boleh menjangkakan hanya beberapa negara sahaja
sebagai 'favourite' untuk menjulang Piala Dunia ini, tetapi pada tahun
ini tidak. Kebanyakan negara bertanding dilihat mempunyai kekuatan yang
seimbang untuk menjulang piala yang direka oleh Silvio Gazzaniga ini.
Sepanyol dilihat bukanlah negara yang bukan lagi sebagai juara
bertahan. Meskipun kebanyakan barisan pemain adalah barisan yang
memenangi Piala Dunia 2010 dan Juara Eropah 2012 namun kini ianya bukan
lagi merupakan suatu kredit bagi mereka. Brazil dilihat sebagai pasukan
yang mampu juga menjulang Piala Dunia tahun ini. Ditambah pula selaku
tuan rumah, memberikan kelebihan kepada mereka. Pasukan pemain Brazil
juga menampilkan pemain-pemain yang bermain di kelab-kelab terkemuka
dunia seperti Neymar yang bermain untuk Barcelona, Oscar di Chelsea,
David Luiz dan Marcelo. Berada dalam kumpulan A bersama pasukan
Cameroon, Croatia dan Mexico seolah-seolah tiada masalah buat Brazil.
Skuad Azzuri juga dilihat berkeyakinan untuk mengulangi pencapaian
mereka pada tahun 2006 di Jerman. Skuad bimbingan Cesare Prandelli ini
terkenal dengan mempertaruhkan barisan kuda tua. Lihat sahaja pemain
seperti Gianluigi Buffon, Thiago Motta dan Andrea Pirlo. Mereka ini
berumur lebih 30 tahun. Positifnya, mereka mampu bersaing dengan pemain
muda di peringkat Piala Dunia. Itali adalah pasukan yang tidak boleh
dipandang remeh kebolehannya. Sebaris dengan Itali dalam kumpulan D
adalah kumpulan England. England terkenal dengan Liga Perdana Inggeris
namun kemarau Piala Dunia selama 48 tahun. Selepas juara pada tahun
1966, England hanya mampu pergi setakat peringkat separuh akhir sahaja.
Itupun hanya pada tahun 1990! Namun skuad tahun ini yang dibimbing oleh
Roy Hodgson ini mampu memberikan tentangan lebih baik lagi. Penampilan
Raheem Sterling dan Daniel Sturridge di barisan hadapan bersama Wayne
Rooney dilihat mampu menajamkan serangan skuad England. Bahkan
penampilan Sterling dan Sturridge bersama pasukan Liverpool sangat
menjadi musim ini.
Namun begitu, di antara 32 pasukan yang bertanding ini, saya menaruh
harapan yang tinggi kepada pasukan Jerman untuk menjuarai Piala Dunia
tahun ini. Pasukan yang menduduki tangga kedua dunia ini mempunyai
keseimbangan dari sudut permainan dan juga strategi. Jerman juga
konsisten berada di tempat kedua dan ketiga dalam tiga siri kejuaraan
sebelum ini. Uniknya, pasukan Cameroon dan Amerika juga mempunyai
jurulatih yang berasal dari Jerman. Meskipun dihimpit dengan beberapa
kontroversi dan kecederaan pemain namun saya melihat Jerman mampu
mengatasinya. Dibarisi pemain pertahanan yang kental seperti Philipp
Lahm dan Erik Durm, perancang yang bijak seperti Mesut Ozil, barisan
tengah seperti Toni Kroos, Marco Reus dan Bastian Schweinsteiger dan
jentera serangan berbisa seperti Thomas Mueller dan Miroslav Klose mampu
memberikan kegerunan dan menewaskan pasukan lawan.
Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa pasukan Jerman tahun
ini bagaikan mengulangi kegemilangan era Oliver Kahn/Michael Ballack di
Piala Dunia 2002. Meskipun Jerman bukanlah pasukan yang saya minati,
namun pasukan yang terkenal dengan jolokan Die Mannschaft ini dilihat
mampu membawa pulang trofi Piala Dunia kembali ke Jerman.
Apapun, dalam bola sepak ini, sebarang kemungkinan boleh terjadi.
Musim mata merah di pejabat sudah kembali. Penantian 4 tahun sudah
hampir tiba. Tidak ketinggalan untuk saya nasihati kepada peminat yang
muslim untuk tidak lupa bertahajud pada waktu malam. Sekiranya kita
mampu bangun malam semata-mata untuk menonton bola, luangkanlah masa
selama 10 minit untuk bertahajud kepada Allah. Mudah-mudahan ianya
menjadi kelaziman kita untuk bangun malam meskipun demam Piala Dunia
sudah berlalu, insya Allah.
Yang Benar,
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia
......
http://tkobloglist.blogspot.com
Aduka Taruna dah ada akal rupanya
4 weeks ago


0 comments:
Post a Comment