Followers

Jawatankuasa Khas Parlimen Hanya Retorik Untuk Bn Terus Berkuasa

Wednesday, August 24, 2011

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang bertegas tidak akan menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen yang dibentuk kerajaan kerana ia sekadar gimik politik Perdana Menteri semata-mata. Bagi DPPM penubuhan jawatankuasa Khas Parlimen yang tidak tertakluk dengan tarikh pilihanraya umum ke 13 tidak akan membawa apa-apa makna terhadap sistem pilihanraya yang sedang dibualkan sekarang.

DPPM mahukan kerajaan konsisten terhadap semua 8 tuntutan BERSIH dan tidak bersikap retorik dalam menghadapi kemarahan rakyat. Jika pilihanraya umum dilangsungkan dalam keadaan Jawatankuasa Khas Parlimen tidak sempat membuat apa-apa resolusi, apakah maknanya penubuhan jawatankuasa ini? Ini lebih membawa maksud penghinaan terhadap Parlimen itu sendiri.


Tidak ada ertinya Pakatan Rakyat (PR) duduk dalam Jawatankuasa Khas Parlimen jika semua tuntutan tidak dilaksanakan dalam PRU ke 13 nanti. DPPM mempersoalkan bilakah lagi kerajaan akan melaksanakan reformasi dalam pilihanraya jika pada PRU ke 13 tidak sempat dilaksanakan? Adakah kerajaan mahu rakyat menunggu sehingga PRU ke 14, atau lebih lama dari itu? Ini membuktikan bahawa Datuk Seri Najib sendiri tidak ikhlas dalam melakukan usaha pemulihan sistem pilihanraya. Jawatankuasa Khas Parlimen sekadar tempelan bagi mengambil hati rakyat yang masih terluka.

DPPM mengingatkan kerajaan bagaimana sistem pilihanraya di Malaysia menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa. Dengan daftar pemilih yang meragukan, pengundi klon dijumpai dimana-mana, pengundi pemastautin tetap yang mendapat hak kewarganegaraan sekelip mata dan diberikan kelayakan mengundi, serta undi pos yang terdedah tembelangnya dengan beberapa siri pendedahan bekas anggota tentera. Apakah alasan paling konkrit untuk diberikan melainkan reformasi keseluruhan dalam sistem pilihanraya.

Rakyat keseluruhannya amat mengharapkan perubahan drastik dan total dalam sistem pilihanraya yang semakin pincang. Sistem pilihanraya di Malaysia sudah tidak dipercayai lagi untuk dijadikan sandaran. Menunggu sehingga selepas PRU ke 13 akan menghilangkan kesabaran rakyat. DPPM bimbang rakyat akan melakukan sendiri reformasi tersebut tanpa menunggu pilihanraya. DPPM mengingatkan kerajaan bahawa zaman retorik politik sudah berlalu kerana rakyat semakin cerdik membaca permainan politik BN. Tiga bulan yang dijanjikan oleh BERSIH masih ditagih dan masa semakin suntuk buat kerajaan BN melakukan usaha. Laksanakan segera reformasi pilihanraya sebelum PRU ke 13 jika tidak mahukan hukuman rakyat dalam BERSIH 3.0.

Disediakan oleh

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...