Followers

Mana bukti Pas amal Syiah?

Sunday, July 28, 2013

ALOR SETAR - Ada ahli Pas di Kedah yang diakui amalkan Syiah. Bagaimanapun, tuduhan kaitkan fahaman itu dengan pemimpin Pas di negeri ini, disifatkan karut.

"Jangan buat tuduhan melulu. Kalau nak dakwa kena ada bukti. Jangan cakap saja, label dari pemerhatian sedangkan ini perkara serius, babitkan akidah orang," kata bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan wujud beberapa pemimpin parti politik di negeri ini terlibat fahaman itu. Menurutnya, tuduhan itu jelas tidak berasas, selain tanpa bukti kukuh.

“Tuduhan itu berunsur politik semata-mata,” katanya.

Menurutnya, tuduhan itu juga membahayakan kesepakatan yang terjalin antara umat Islam yang berbeza fahaman politik, dan jika disalah tafsir boleh memecahbelahkan umat Islam.

“Setahu saya ada ahli Pas yang amal Syiah tetapi saya tegaskan, bukan daripada kalangan pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Phahrolrazi diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi, Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Ashiq Elahi yang bersedia mendedahkan nama pemimpin parti politik yang terlibat dengan kegiatan Syiah selepas pengharaman Syiah diwartakan.

Dakwanya, sekurang-kurangnya enam pemimpin utama sebuah parti politik di negeri ini terlibat Syiah. Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa mempunyai maklumat mengenai pemimpin dalam parti politik tertentu amalkan Syiah dan membuka jalan kepada penyebaran fahaman itu di negara ini.

Katanya, tindakan akan diambil jika ada laporan daripada Majlis Agama Islam negeri atau pertubuhan bukan kerajaan Islam serta Jakim.

Dalam pada itu, Phahrolrazi, yang juga Adun Pengkalan Kundor berkata, setakat ini, belum ada pemimpin parti itu yang mengisytiharkan diri sebagai pengikut Syiah, dan tohmahan yang dilemparkan mungkin ada kaitan dengan hubungan baik pemimpin Pas dengan pemimpin Iran.

“Tidak dinafikan ada pemimpin Pas termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan lawatan ke Iran dan berjumpa pemimpin politik di sana atau hadir pada persidangan ulama. Tetapi itu tidak bermakna kita sokong atau amalkan Syiah,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak wajar membuat andaian sebegitu hanya kerana pemimpin Pas menjejak kaki ke negara Iran.

“Selama bergaul dengan pemimpin Pas di Kedah atau Pusat, saya tidak nampak aktiviti yang menjurus kepada amalan Syiah dalam kalangan pimpinan. Cara Syiah berbeza, kita boleh kenal pasti dan saya yakin tiada kalangan pimpinan parti terlibat,” katanya.

Mengulas tohmahan yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sering kali dikaitkan dengan Syiah, Phahrolrazi berkata, ia lebih kepada propaganda politik.

“Sebelum ini, perkara sama dihebohkan, kini kembali selepas BN berkuasa di Kedah. Saya percaya kempen memburuk-burukkan Mat Sabu diuar-uarkan sejak beliau terpilih sebagai calon PRU13 di Parlimen Pendang,” katanya.

Menurutnya, sebagai pemimpin yang rapat dengan pemimpin nombor dua Pas itu, beliau tidak pernah menyaksikan amalan Mat Sabu terpesong daripada ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...