Kerap saya nyatakan dalam tulisan saya bahawa Sarawak adalah sebuah wilayah yang paling kaya di Malaysia tetapi malangnya rakyat dibiarkan hidup dalam keadaan papa kedana tidak dapat menikmati hasil kekayaan yang seharusnya mereka nikmati.Pemimpin yang dipilih oleh rakyat sepatutnya menjalankan amanah dengan membaiki taraf kehidupan rakyat agar menjadi lebih baik lagi tetapi ianya gagal. Malah kehidupan mereka bagaikan raja dengan membiarkan rakyat hidup sengsara tanpa menyediakan kemudahan asas yang sepatutnya rakyat nikmati.
Mana perginya slogan keramat BN (Barisan Nasional) ‘rakyat didahulukan” atau slogan ini semata-mata retorik atau gula-gula untuk menarik undi rakyat semasa pilihanraya saja?
Saya memetik laporan berita dari 'Borneo Post online' hari ini mengenai nasib yang menimpa penduduk RH Ngadan di Niah di daerah Miri. Ianya sungguh mengejutkan apabila diberitakan rumah panjang ini merupakan rumah panjang yang masih lagi bergantung kepada air dari kolam buatan sendiri untuk tujuan harian mereka seperti mandi, membasuh pakaian dan sebagainya.
Sarawak sudah merdeka berpuluh tahun lamanya dan setiap kali laporan pendapatan kewangan bagi Sarawak dilaporkan, pemimpin BN dengan megah mencanangkan betapa berjayanya mereka menjana keuntungan berbilion ringgit tetapi hakikatnya masih ramai lagi rakyat Sarawak yang masih belum mendapat kemudahan asas. Pelik tetapi benar!!!
Menurut laporan portal berita tersebut, keadaan air kolam yang digunakan hampir 20 tahun oleh kira-kira 200 orang penduduk itu berlumpur dan berbau. Kanak-kanak dan penghuni rumah panjang tersebut tiada pilihan lain selain dari kolam itu untuk mandi, disamping itu mereka juga ada menyimpan air hujan untuk minuman.Walaupun mereka telah lama menetap di sana, tetapi bekalan air bersih tidak ada, malah tangki air 1Malaysia yang diagihkan ke rumah-rumah panjang yang tiada kemudahan air bersih seperti mereka juga tidak sampai ke tangan penduduk kampung.
Lokasi RH Ngadan ini hanyalah beberapa kilometer terletak di pinggir bandar,bukannya jauh di pedalaman. Penduduk kampung pernah merayu kepada pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah tersebut, namun sehingga kini tiada nampak sedikitpun usaha kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang mereka dihadapi.
Kenapa kemudahan asas ini tidak sampai kepada rakyat? Apapun alasan yang diberi oleh pihak kerajaan namun ia tidak boleh diterima kerana BN sudah memerintah sekian lama dan masalah sekecil inipun gagal ditangani.
Perbuatan begini seolah-olah menunjukkan pihak pemerintah tidak mempunyai perasaan simpati terhadap penduduk RH Ngadan ini. Sekiranya berlaku pilihanraya kecil sudah pasti dalam masa tidak sampai satu hari masalah ini mampu diselesaikan. Banyak projek segera akan diadakan untuk menarik simpati pengundi agar terus memberi sokongan kepada kerajaan BN tetapi apabila sudah menang mereka ini sukar dihubungi.
Jika kita mengikut logik, bukan sahaja kerajaan Sarawak mampu menyediakan kemudahan asas bahkan juga dapat menyediakan kemudahan asas yang lain kepada rakyat, tetapi malangnya ia adalah sukar untuk menjadi kenyataan selagi perwatakan tidak mementingkan diri tidak dilucutkan daripada pemikiran pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah.
Bagi menangani masalah ini, pihak kerajaan seharusnya mengarah agensi kerajaan yang berkaitan untuk turun padang bagi penyelesaikan masalah berkaitan. Mudah dan senang kerana mereka adalah pemerintah dan kuasa di tangan mereka.Jika sudah tiada niat di hati sanubari pemimpin BN untuk menyelami kesengsaraan rakyat, beginilah jadinya. Ternyata sudah terserlah sifat nurani dalam jiwa dan hati pemimpin BN, mereka tiada istilah berbakti kepada rakyat. Apa yang penting bagi mereka adalah mengumpul harta kekayaan selagi termampu.
Laporan ini juga sedikit sebanyak menjawab kenyataan pengerusi kelab penyokong BN Sarawak dan Adun Semop Abdullah Saidol yang menyanggah kenyataan naib presiden PAS Datuk Husam Musa. Husam Musa berkata pemintaan Sarawak untuk menaikan royalti minyak dan kesanggupan PM Najib adalah gimik dan retorik bagi menghadapi pilihanraya. Kenyataan itu, kata Saidol boleh mengelirukan rakyat.
Abdullah Saidol juga berkata, kawasan pedalaman di Sarawak masih memerlukan kemudahan asas dan ia memerlukan dana bagi menbangunkan penduduk kawasan bandar dan luar bandar. Ianya melibatkan pembangunan jalan baru, air bersih dan bekalan elektrik. Pemintaan kenaikan royalti tersebut sedikit sebanyak dapat membantu menyediakan dana pembangunan kelak.
Kenyataan Abdullah Saidol adalah semata-mata ingin menutup kelemahan BN Sarawak. Adakah dengan duit royalti pembangunan di luar bandar boleh dibangunkan? Abdullah Saidol perlu membuka mata dan pandang di sekeliling bukan sahaja di luar bandar pembangunan tempang tetapi di kawasan pinggir bandar pun pembangunan asas tidak disediakan seperti mana yang berlaku di RH Ngadan.
Kenyataan Abdullah Saidol ini boleh dikira setengah masak kerana ia menutup kelemahan sendiri dan menafikan kegagalan kerajaan Sarawak. Abdullah Saidol mungkin tidak mengetahui hakikat sebenar permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Sarawak. Bukan sahaja pembangunan yang terabai, kos sara hidup yang tinggi dan kekurangan peluang pekerjaan juga terhad.
Mungkin Abdullah Saidol menganggap dengan membina infrastuktur ia boleh menjamin kesenangan bagi rakyat, tapi dengan infrastuktur sahaja rakyat yang tidak bekerja boleh hidup senang. Betapa pendeknya akal sekiranya infrastuktur diukur sebagai jaminan kesenangan kehidupan rakyat.
Pada hemat saya walaupun duit royalti itu dinaikkan, ianya belum tentu dapat membangunkan kawasan luar bandar kerana para buaya dan perompak ada di mana-mana menunggu masa untuk menelan dan merampas harta ghanimah.
Andri Zulkarnaen Hamden @ Abusiraj almuner
Ketua Penerangan Pas Sarawak.
......
http://tkobloglist.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment