Followers

Piala Dunia 2014 Bakal Milik Siapa?

Thursday, June 5, 2014

Kurang sepuluh hari lagi penduduk bumi ini akan meraikan kedatangan Piala Dunia 2014. Pertandingan bola sepak yang berprestij yang ditunggu-tunggu setiap 4 tahun sekali. Pelabagai persiapan dan program dirancang di seluruh dunia bagi sama-sama meraikan dan menyokong pasukan negara pilihan masing-masing. Tidak ketinggalan juga di Malaysia, kehangatan Piala Dunia 2014 kian membahang. Lihat sahaja di kaca-kaca televisyen dan di dada-dada akhbar, tidak sedikit berita dan iklan berkenaan Piala Dunia ini.

Namun saya melihat Piala Dunia kali ini mempunyai keunikannya. Jika siri sebelum ini kita boleh menjangkakan hanya beberapa negara sahaja sebagai 'favourite' untuk menjulang Piala Dunia ini, tetapi pada tahun ini tidak.  Kebanyakan negara bertanding dilihat mempunyai kekuatan yang seimbang untuk menjulang piala yang direka oleh Silvio Gazzaniga ini.

Sepanyol dilihat bukanlah negara yang bukan lagi sebagai juara bertahan. Meskipun kebanyakan barisan pemain adalah barisan yang memenangi Piala Dunia 2010 dan Juara Eropah 2012 namun kini ianya bukan lagi merupakan suatu kredit bagi mereka. Brazil dilihat sebagai pasukan yang mampu juga menjulang Piala Dunia tahun ini. Ditambah pula selaku tuan rumah, memberikan kelebihan kepada mereka. Pasukan pemain Brazil juga menampilkan pemain-pemain yang bermain di kelab-kelab terkemuka dunia seperti Neymar yang bermain untuk Barcelona, Oscar di Chelsea, David Luiz dan Marcelo. Berada dalam kumpulan A bersama pasukan Cameroon, Croatia dan Mexico seolah-seolah tiada masalah buat Brazil.

Skuad Azzuri juga dilihat berkeyakinan untuk mengulangi pencapaian mereka pada tahun 2006 di Jerman. Skuad bimbingan Cesare Prandelli ini terkenal dengan mempertaruhkan barisan kuda tua. Lihat sahaja pemain seperti Gianluigi Buffon, Thiago Motta dan Andrea Pirlo. Mereka ini berumur lebih 30 tahun. Positifnya, mereka mampu bersaing dengan pemain muda di peringkat Piala Dunia. Itali adalah pasukan yang tidak boleh dipandang remeh kebolehannya. Sebaris dengan Itali dalam kumpulan D adalah kumpulan England. England terkenal dengan Liga Perdana Inggeris namun kemarau Piala Dunia selama 48 tahun. Selepas juara pada tahun 1966, England hanya mampu pergi setakat peringkat separuh akhir sahaja. Itupun hanya pada tahun 1990! Namun skuad tahun ini yang dibimbing oleh Roy Hodgson ini mampu memberikan tentangan lebih baik lagi. Penampilan Raheem Sterling dan Daniel Sturridge di barisan hadapan bersama Wayne Rooney dilihat mampu menajamkan serangan skuad England. Bahkan penampilan Sterling dan Sturridge bersama pasukan Liverpool sangat menjadi musim ini.

Namun begitu, di antara 32 pasukan yang bertanding ini, saya menaruh harapan yang tinggi kepada pasukan Jerman untuk menjuarai Piala Dunia tahun ini. Pasukan yang menduduki tangga kedua dunia ini mempunyai keseimbangan dari sudut permainan dan juga strategi. Jerman juga konsisten berada di tempat kedua dan ketiga dalam tiga siri kejuaraan sebelum ini. Uniknya, pasukan Cameroon dan Amerika juga mempunyai jurulatih yang berasal dari Jerman. Meskipun dihimpit dengan beberapa kontroversi dan kecederaan pemain namun saya melihat Jerman mampu mengatasinya. Dibarisi pemain pertahanan yang kental seperti Philipp Lahm dan Erik Durm, perancang yang bijak seperti Mesut Ozil, barisan tengah seperti Toni Kroos, Marco Reus dan Bastian Schweinsteiger dan jentera serangan berbisa seperti Thomas Mueller dan Miroslav Klose mampu memberikan kegerunan dan menewaskan pasukan lawan.

Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa pasukan Jerman tahun ini bagaikan mengulangi kegemilangan era Oliver Kahn/Michael Ballack di Piala Dunia 2002. Meskipun Jerman bukanlah pasukan yang saya minati, namun pasukan yang terkenal dengan jolokan Die Mannschaft ini dilihat mampu membawa pulang trofi Piala Dunia kembali ke Jerman.

Apapun, dalam bola sepak ini, sebarang kemungkinan boleh terjadi. Musim mata merah di pejabat sudah kembali. Penantian 4 tahun sudah hampir tiba. Tidak ketinggalan untuk saya nasihati kepada peminat yang muslim untuk tidak lupa bertahajud pada waktu malam. Sekiranya kita mampu bangun malam semata-mata untuk menonton bola, luangkanlah masa selama 10 minit untuk bertahajud kepada Allah. Mudah-mudahan ianya menjadi kelaziman kita untuk bangun malam meskipun demam Piala Dunia sudah berlalu, insya Allah.

Yang Benar, 
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia




......
http://tkobloglist.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...