Followers

Musim Perayaan: Ada Pihak Cuba Kaut Untung Lebih

Wednesday, June 4, 2014

Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (PENYEDAR) yakin menjelangnya musim perayaan terutamanya Sambutan Hari Raya akan timbulnya isu kekurangan barang keperluan harian dan terdapat juga isu kenaikan barangan keperluan tersebut. Walaupun baru-baru ini kita telah dikejutkan ianya telah pun bermula berlakunya di Negeri Kedah setelah dilaporkan oleh media bahawa Minyak Masak dan Tepung Gandum khasnya telah mula berkurangan dan telah dilaporkan juga ada pihak yang telah menaikkan harga yang amat terkesan kepada pengguna semenjak minggu lepas. Terdapat juga maklumat, perkara yang sama telah berlaku di Daerah Kerian, Negeri Perak dan kemungkinannya akan turut berlaku di seluruh Perak berikutan menjelangnya Bulan Ramadhan pada tahun ini.

Oleh kerana dengan alasan kekurangan ataupun dengan istilah catuan barangan keperluan bersubsidi ini, banyak pihak menjadikannya alasan untuk menaikkan harga dipasaran yang sekaligus akan membebankan pengguna. Jika di Kedah, tinjauan harga barangan itu di Pasar Besar, Alor Setar mendapati minyak masak dijual dengan harga RM3.20 sekilogram berbanding RM2.50 sebelum ini manakala tepung gandum pula RM1.35 sebelum ini meningkat kepada RM1.80 sekilogram. Manakala di Parit Buntar pula, tepung gandum bersubsidi kini dijual pada harga RM1.50 sekilogram berikutan kesukaran untuk memperolehinya. Dua keperluan tersebut jelas akan memberikan kesan kepada pengguna terutamanya juadah utama semasa Bulan Ramadhan iaitu kuih-muih.

PENYEDAR cuba merungkai permasalahan utama pengguna di dalam perkara ini kerana keperluan harian yang diberikan subsidi oleh Kerajaan tersebut disalahgunakan atau dengan istilah penyalahgunaan kuasa pihak-pihak yang terlibat. Dengan menjadikan musim-musim perayaan sebagai ‘hari mengaut untung’ dengan cara yang salah dan mudah, semua pihak yang terlibat seolah-olah ‘membantu’ antara satu sama lain. Pertamanya kepada pihak pengilang yang menjadi rujukan utama pengeluaran barangan seperti minyak masak dan juga tepung gandum, sudah tentu stok normal yang diperuntukan dalam tempoh setahun terutamanya minyak masak akan dikawal melaluinya. Pengeluaran berdasarkan tan metrik setiap negeri akan memastikan stok minyak masak akan sentiasa mencukupi tanpa ada terkesan dalam apa keadaan sekali pun khasnya.

Bermula dengan cuti sekolah sudah menunjukkan rasa panik pengguna setelah dilaporkan minyak masak dan tepung gandum habis dipasaran, ini belum bermulanya awal Ramadhan dan belum juga Hari Raya yang lebih mencemaskan semua pengguna nanti. Pihak kedua yang menjadi rujukan adalah pembekal dan juga pemborong yang menjadi ‘orang tengah’ menguruskan keperluan barangan tersebut. Terdapat juga usaha pihak yang tidak bertanggungjawab telah melaksanakan sistem kouta yang memberikan kesukaran kepada ‘orang tengah’ ini untuk menyalurkan barangan keperluan tersebut kepada Pasar Raya Besar ataupun kecil dan juga peruncit. Malah sistem monopoli juga dikenakan yang akan mengakibatkan harga pasaran yang boleh ‘dimainkan’ untuk dinaikkan bila tiba masanya seperti musim perayaan.

Ada yang telah mengatakan kerana bermulanya musim cuti persekolahan adalah penyebab kekurangannya minyak masak di pasaran dan juga tepung gandum kerana terlalu banyak permintaan. Agak pelik alasan tersebut, adakah juga kerana pengguna telah membeli barangan keperluan melebihi penggunaan harian mereka? Adakah juga pembekal kuih-muih telah mula memasarkan produk mereka dipasaran menjelangnya bulan Ramadhan ini sebelum tibanya Hari Raya? Memungkinkan permintaan luar biasa kuih-muih sebelumnya tiba musim perayaan yang mengakibatkan kekurangan barangan keperluan? PENYEDAR meminta pihak berkuasa bertindak segera dan tegas kerana pihak yang berkepentingan telah awal melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang yang perlu dihukum.

PENYEDAR meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membenteras penyalahgunaan dana kerajaan ini dengan cara salah dan perlu tindakan drastic serta tegas. Jangan izinkan perkara ini berlaku mengikut musim seolah-olah pihak kerajaan mudah ‘dimainkan’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut. Hapuskan pihak yang berkepentingan dan cuba ‘mengaut untung mudah’ kerana telah melanggar undang-undang tanpa merasa bimbang tidak kira siapa. Kepada pengguna awam yang ditindas oleh kelemahan penguatkuasaan, anda harus menjadi ‘mata dan telinga’ bagi melaporkan salahguna kuasa yang sewenang-wenangnya berlaku. PENYEDAR melalui sukarelawan di seluruh Daerah di Perak akan membantu pihak kerajaan menyalurkan maklumat supaya diambil tindakan susulan kelak.


HAJI ASMUNI AWI
Pengerusi,
Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak.

......
http://tkobloglist.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...