Followers

24 NGO Pahang serah memo pada PM: PAS di mana dalam keadaan ini?

Sunday, January 3, 2010

Sekumpulan 24 badan bukan kerajaan (NGO) Pahang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald-The Catholic Weekly.

Mereka menyerahkan memorandum tersebut sebelum Najib Najib mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pekan hari ini.

Menurut jurucakap NGO berkenaan, Amidi Abdul Manan yang juga timbalan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), KDN perlu memfailkan rayuan secepat mungkin bagi menghilangkan keresahan umat Islam di negara ini.

"Semua pihak dalam negara ini perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian agama Islam," katanya, lapor Bernama.

Amidi berkata menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, kalimah "Allah" adalah eksklusif bagi agama Islam sahaja.

Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata NGO hendaklah mengambil pendekatan berhemah dan bijaksana dalam menangani isu tersebut.

"Kita tahu ada pihak yang sedang menunggu peluang keadaan positif bertukar menjadi negatif kerana akan berlaku adu domba tidak baik dan sebagainya.

"Jadi kalau kita tidak tangani dengan betul ia akan menyebabkan kebimbangan yang tidak terkawal," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Sekolah Sesi 2010 di ibunegara hari ini.

Jamil Khir berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu dan memaklumkan perkara berkenaan kepada perdana menteri.

"Kita akan membuat rayuan secepat mungkin tetapi ia harus dibuat melalui KDN. Kerajaan dah bagi komitmen dan berjanji untuk merayu, saya fikir dalam hal ini jangan kita terlalu tergopoh-gapah kerana ia melibatkan mahkamah dan melibatkan soal pelbagai bangsa dan agama," katanya.

Beliau meminta umat Islam di negara ini supaya bersatu hati tanpa mengira fahaman politik bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah sebagai hak mutlak agama Islam.

"Ini bukan agenda parti politik, individu atau kelompok tersendiri, hal ini adalah berkaitan dengan akidah dan juga keyakinan serta kepercayaan umat Islam dengan penggunaan kalimah Allah yang kita pegang selama ini," katanya.

Jamil Khir berkata pihaknya juga akan mewujudkan akta dan enakmen berkaitan penggunaan perkataan dan kalimah yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam terutamanya di negeri-negeri yang belum mempunyai akta dan enakmen berkaitan.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives