Followers

Gaya Bahasa Al-Quran

Tuesday, January 12, 2010

Oleh Aidil Khalid...

Mutakhir ini, semakin menjadi popular pula sebuah teori kesusasteraan yang cuba untuk mengikut teknik-teknik kesusasteraan daripada Al-Quran. Saya tergerak untuk menulis entri ini setelah memberikan komen di ruangan komentar blog rakan penulis, saudara Syafiq Zulakifli yang saya hormati tetapi saya berbeza pandangan dengannya.

Sebagai orang Islam, kita tentu sekali percaya dan beriman dengan sepenuh hati bahawa Al-Quran itu adalah kalam Tuhan yang diwahyukan kepada nabi Muhammad saw dan oleh itu sudah barang tentu bersifat sempurna dan bersih daripada sebarang cela mahupun cacat. Dan kesempurnaan ini mencakupi aspek kesusasteraan termasuk juga laras bahasanya.


Justeru, sebarang usaha untuk meniru teknik-teknik daripada Al Quran haruslah dipuji. Tapi sayang sekali, kadang-kala dalam keghairahan untuk mengikuti teknik-teknik yang dibawakan dalam Al-Quran itu, ada pula yang terlepas pandang untuk mengambil kira konteks zaman ketika kitab ini diturunkan. Akibatnya, timbullah teori-teori yang rigid dan sangat tidak praktikal di zaman ini.

Salah satunya adalah sebuah teori yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Menurut teori ini, dalam menulis karya sastera, seseorang pengarang itu hendaklah menggunakan laras bahasa baku yang sebaku-bakunya. Tidak boleh ada perkataan-perkataan singkatan sama-sekali. Contohnya, perkataan ‘tidak’ hendaklah ditulis penuh sebagai ‘tidak’ dan tidak boleh ditulis sebagai ‘tak’. Begitu juga perkataan ‘sahaja’ tidak boleh ditulis dengan ‘saja’ atau ‘je’. Perkataan ‘hendak’ tidak boleh ditulis ‘nak’. Dan banyak lagi yang tidak-tidak. Konsep singkop dalam kesusasteraan memang ditolak sama sekali.

Hujah yang diberikan oleh pendokong teori ini adalah bahawa dalam Al Quran, bahasa Arab Fushah (yakni bahasa Arab laras baku) digunakan, dan kitab ini tidak diturunkan dalam laras bahasa percakapan sehari-harian orang Arab Badwi pun. Justeru kalau kita hendak meniru teknik yang digunakan Al-Quran, maka kita pun haruslah menggunakan bahasa baku sepenuhnya. Begitu kata mereka.

Hasilnya, dialog-dialog yang ditulis menjadi tersangat artifisial seperti ini:

“Benarkah kamu tidak mahu pergi dengan mengenderai kereta sahaja?”

“Memang saya telah pun membuat keputusan ini sedari malam tadi lagi. Saya tidak boleh memandu kereta dalam keadaan sinar matahari mencacak tegak di atas langit. Saya mempunyai masalah silau penglihatan.”
Kalau dalam bahasa Inggeris, saya akan katakan: “Nothing can be further from the truth.” Kerana hakikatnya, para pendokong teori BMT ini, gagal mengambil kira konteks zaman dan masyarakat Arab ketika Al-Quran diturunkan itu. Sebenarnya, pada zaman itu memang masyarakat Arab bertutur dalam bahasa Arab fushah. Kerana bahasa ketika itu belum dicemari elemen 'Ammi (yakni bahasa Arab pasar) seperti yang berleluasa di negara-negara Arab hari ini. Malahan orang-orang Arab Badwi di gurun-gurun di zaman itu memiliki pengucapan bahasa yang indah dan puitis. Sehinggakan menjadi amalan orang-orang Arab di kota-kota, untuk mengirimkan anak-anak kecil untuk dipelihara oleh keluarga-keluarga angkat dari puak Badwi di gurun-gurun ini dengan harapan agar anak-anak mereka dapat menguasai kefasihan berbahasa daripada ibu dan ayah angkat mereka. Dan kerana itu jugalah, seperti yang kita tahu, ketika nabi saw dilahirkan, baginda diberikan kepada Halimatussa'diah untuk dipelihara dan disusukan.

Justeru apabila Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab Tinggi, ia sebenarnya adalah cerminan bahasa Arab yang digunakan sehari-harian ketika itu. Ia adalah refleksi bahasa pertuturan ketika itu – hanyasanya bersifat lebih puitis dan indah sehingga para penyair di zaman itu pun kagum dan terpesona dan tidak dapat menemui barang sedikit pun kecacatan pada setiap ayatnya.

Sebab itu, dalam konteks bahasa dalam penulisan sastera kita hari ini, apabila ada yang berkeras mahu menggunakan bahasa Melayu formal dengan menghujahkan Al-Quran menggunakan bahasa Arab baku, maka saya akan katakan, “nothing can be further from true.”

Sebaiknya langgam dan lenggok yang digunakan dalam sesuatu penulisan sastera haruslah mencerminkan bahasa yang digunakan dalam sesebuah masyarakat itu. Sekiranya kita terlalu berkeras menggunakan langgam bahasa Melayu Tinggi yang rigid kaku dan tidak mencerminkan sama sekali pertuturan sehari-harian, maka sastera akan terpisah dari masyarakat.

Tetapi harus juga ditegaskan, bahawa penggunaan langgam sehari-harian haruslah dalam keadaan yang terkawal. Terkawal di sini bermaksud, jangan pula sampai terjadi pencemaran. Kerana matlamat utamanya adalah untuk memperkayakan bahasa itu, dan bukan untuk merosakkannya. Justeru barangkali dengan menghadkan penggunaan langgam bahasa percakapan hanya kepada ayat-ayat dialog sahaja adalah satu alternatif yang baik.

Bahasa yang dirigidkan terlalu kaku dan baku ditakuti akan memberi kesan mematikan sesuatu bahasa itu. Bahasa akan menjadi statik dan tidak berkembang. Dan hasil kesusasteraan pula akan menjadi artifisial.

Allahua’lam.

http://aidilkhalid.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives