Oleh Faizal Yusup
Perkara pertama dan yang paling utama dalam kehidupan ini ialah menjadi seorang manusia ialah untuk menjalankan ibadah atau mengabdikan diri kepada Allah Taala. Ini bermakna kita sebagai manusia mestilah menjalankan apapun tindakan dan perbuatan dengan niat kerana Allah Taala. Ibadah sebenarnya berada dalam rangkuman yang besar. Ini kerana ia tidak terhad hanya kepada hubungan dengan Allah seperti solat, puasa, zakat, sedekah, haji, zikir, mengaji Al Quran dan sebagainya tetapi ia juga merangkumi hubungan dengan manusia, binatang dan sebagainya. Amalan dalam rangkuman Fardhu Ain juga Fardhu Kifayah.
Dalam hubungan dengan manusia, keutamaan selepas Rasullullah SAW ialah ibu dan kemudiannya bapa. Ini kerana Rasullullah SAW menzahirkan hukum Allah Taala dan kita akan dapat pahala sekiranya kita mengikut sunnah Rasullullah SAW dan mungkin akan dibangunkan bersama Baginda di akhirat kelak. Malah mungkin mendapat syafaat daripada Baginda untuk ke syurga. Rasullullah SAW sebenarnya adalah benchmark atau petanda aras bagi manusia supaya manusia berada dalam rangkuman akhlak dan amalan ibadah yang sama.
Mulakan dengan niat, makan dengan tangan kanan, bersifat ihsan, berani, bersopan, bersabar, yakin, tegas, bersangka baik, berkata benar, berakhlak mulia dan sebagainya serba lengkap dalam menjalani kehidupan ini sebagai manusia. Tiada apa yang tertinggal. Ia bakal menjadikan akhlak semua umat Islam sekata atau uniform, berdisiplin dan tersusun tak kira apa juga bangsanya. Ini juga menjadikan umat Islam bersaudara.
Ketahuilah tanpa sunnah Nabi SAW ini sebagai rangkuman maka manusia atau kita semua akan menjalani kehidupan dengan kebebasan sesuka hati dengan cara yang tersendiri. Nak makan berdiri dengan tangan kiri, tak perlu solat, tak perlu mandi, tak perlu menjaga kebersihan dan sebagainya malah kita mungkin jadi saling tak tumpah seperti kaum jahiliah dek kerana kejahilan.
Seterusnya keutamaan kedua ibubapa. Banyak kisah yang tentang hubungan anak dengan ibubapa ini dan salah satu dari kisah tersebut adalah berkenaan seorang pemuda yang ke syurga kerana menjaga dan memelihara kedua ibubapanya yang merupakan dua ekor babi. Ini jelas menunjukkan yang kita mesti menghormati dan menyayangi ibubapa kita walau siapa atau apapun mereka, janganlah merasakan duit yang kita berikan, harta, pangkat, nama dan kelebihan yang ada pada kita membolehkan kita bersifat kurang ajar kepada kepada mereka. Sedarilah Allah Taala tak memberikan hak tersebut kepada kita.
Kita juga selalu mendengar hadith dan ungkapan seperti syurga anak letaknya dibawah kaki ibunya, doa ibu merupakan doa yang paling mujarab, untuk mendapat keredhaan Allah Taala hendaklah kita mendapatkan keredhaan Ibubapa, janji Allah yang sifat derhaka kepada ibubapa akan dibalas tunai di atas dunia dan sebagainya. Itu dari sudut keislaman tetapi kalau diukur dari sudut kemanusiaan, sudut moral sekalipun ia tetap sama. Ibu yang memegandungkan kita selama lebih 9 bulan mesti dihargai dan disayangi.
Semua ini jelas menunjukkan yang ibubapa mesti dihormati, dipatuhi dan disayangi oleh seorang anak. Janganlah menyalahkan ibubapa atas apapun juga, bersyukurlah kerana kita diberi nikmat mempunyai ibubapa tidak seperti segelintir anak yatim pitu yang tak merasai nikmat tersebut. Mintalah izin, doa dan restu daripada mereka untuk melakukan apapun juga tindakan. Seharusnyalah kita berkejar-kejaran untuk memenuhi semua kehendak kedua ibubapa kita dan sepatutnya kita bertanya dan meminta kepada mereka peluang-peluang untuk melakukan kebaikan kepada mereka kerana ganjarannya amat besar.
Malangnya dewasa ini semakin ramai yang meminggirkan ibubapa mereka, semakin ramai yang menghantar mereka ke rumah-rumah penjagaan orang-orang tua. Ada sebuah kes yang mana ibunya di hantar ke rumah orang tua kerana anaknya malu selepas mendapat tahu ibunya pernah menjadi pelacur. Kemudian ada juga yang jahil dan mendahulukan isteri dan anaknya lebih dari kedua ibubapanya. Sanggup berkorban untuk anak isteri tetapi kedua ibubapa diketepikan. Sedarlah yang ini sebenarnya merupakan satu kesilapan yang nyata.
Ini kerana dari segi susunan ibubapa berbakti kepada kita anaknya dan sebagai balasan kita berbakti kepada kedua ibubapa kita. Begitu jugalah perihalnya bila kita dewasa dan berumahtangga maka susunannya tetap sama. Kita berbakti kepada anak-anak dan tugas merekalah pula untuk membalasnya kepada kita.
Cuba lihat dan kaji mereka-mereka di sekeliling anda. Orang yang berbakti kepada kedua ibubapa mendapat pelbagai kebaikan dan ganjaran di masa ini malah di masa tuanya sedangkan mereka yang derhaka dan tak patuh mengalami nasib yang berbeza dalam sedar mahupun tidak.
Mungkin ada yang menyatakan mereka mahu hidup bebas di dunia ini dan merasakan yang Islam itu mengongkong, namun hakikatnya mereka-mereka yang beriman kepada Allah dan mengikut hukum hakamnya sebenarnya merasa nikmat dan kelazatan yang sukar dimengertikan. Ia hanya dirasai dan dinikmati oleh mereka-mereka yang merasainya. Mereka gembira mengikut perintah Allah, suka untuk mengikut sunnah Rasullullah SAW dan tak akan peduli apa yang orang lain akan kata kerana hukum Allah yang paling teratas dalam kehidupan mereka.
Oleh itu beribadatlah, rapatkan hubungan dengan Allah SWT, ikut perintahNya dan hindari laranganNya, ikutilah sunnah Rasullullah SAW dan akhir sekali berbakti dan patuhlah kepada kedua ibubapa anda walau siapapun mereka. InsyaAllah kebaikan dan ganjaran Allah SWT akan bersama anda sepanjang hayat di muka bumi ini.
Satu ingatan,
Kalau kita diberi pilihan untuk memilih mana-mana ibubapa di muka bumi ini kita akan tetap mendapat kedua ibubapa yang tak sempurna sifatnya kerana itulah hakikat sifat manusia. Tidak sempurna.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial
Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment