Followers

Forum "Allah: Siapa yang punya?" Antara fakta, kebenaran dan kewajaran

Saturday, January 16, 2010

Oleh Lim Hong Siang

Masyarakat Malaysia membuktikan kematangan apabila forum terbuka untuk membincangkan kontroversi penggunaan kalimah "Allah", isu agama yang selama ini dianggap sensitif, berlangsung dengan lancar dan aman.

Forum yang berjudul "Allah: Siapa yang punya?" ini membariskan tujuh orang ahli panel yang berbeza pandangan, dihadiri pula hampir 700 orang hadirin dari latar belakang yang berlainan, tetapi berjaya mengendalikan perbezaan masing-masing dengan baik.

Perbahasan hangat di antara ahli panel, termasuk sesi soal jawab dari hadirin kelmarin berlangsung untuk lebih daripada tiga jam, bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KL-SCAH), mulai jam 8:30 malam.


Meskipun berdepan dengan tekanan daripada pelbagai pihak, penganjurnya, Free Public Forum (FPF), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Pemuda SCAH tetap dengan keputusan untuk memulakan forum pertama yang membincangkan isu ini, setelah ianya dihangatkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada akhir tahun 2009.

"Nama Am" vs "Nama Khas"


Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Khalif Muammar A. Harris yang tidak menyetujui penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam, memulakan hujahnya dengan membezakan antara "nama am" dengan "nama khas".

"Bagi kita, seorang muslim, nama Allah adalah nama khas. Bukan nama umum...," sebelum Khalif Muammar (gambar kiri) menjelaskan selanjutnya, "...dan setiap nama khas mengandungi makna dan konsep yang tersendiri."

Malah, Khalif Muammar menganggap bahawa adalah satu jenayah jika beliau mendakwa dirinya YB Khalid Samad. Merujuk kepada isu kalimah "Allah", Khalif Muammar mendakwa bahawa adalah satu kedangkalan jika membenarkan bukan Islam menggunakan nama 'Allah' untuk makna yang umum.

Walaupun menyedari bahawa kalimah "Allah" wujud lebih awal sebelum kedatangan Islam 1400 tahun lalu, tetapi Khalif menganggap proses Islamisasi ilmu, bahasa dan makna setelah kedatangan al-Quran telah mengubah nama "Allah" dari "nama umum" kepada "nama khusus".

"Maknanya kita berundur 1400 tahun ke belakang. Seolah-olah kita tak mengenal siapa Tuhan kita yang sebenar," katanya.

Tiada ayat dalam al-Quran yang benarkan


Khalif Muammar juga mendakwa tiada ayat dalam al-Quran yang menyokong hujah bahawa nama "Allah" boleh digunakan oleh bukan Islam. Beliau tidak menyetujui mereka yang memetik ayat al-Qur'an Surah al-Zumar: 38 yang bermaksud "Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: 'Siapakah Yang mencipta langit dan bumi?' sudah tentu mereka akan menjawab: 'Allah." untuk memberi lampu hijau kepada bukan Islam agar menggunakan kalimah "Allah".

Khalif Muammar mengingatkan wujudnya perbezaan orang bukan Islam dalam konteks dahulu dengan konteks hari ini, sambil menekankan bahawa seseorang ulama tidak boleh menggunakan zahir nas tersebut tanpa memahami keseluruhan maksud dalam syariah.

Beliau kembali kepada hujah pertamanya, iaitu "Allah" yang dimaksudkan oleh Yahudi dalam konteks tersebut bukanlah "Allah" yang disembah oleh orang Islam. Beliau menjelaskan definisi "Allah" sebagai "Yang Esa... Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, Yang tidak ada yang setara dengannya...", sebelum menyimpulkan bahawa "Tuhan yang tidak menepati sifat ini tidak boleh dinamakan 'Allah'."

Malah, beliau juga menyangkal tanggapan sesetengah yang bertanya, "Bukankah kita beruntung kalau bukan Islam mengaku Allah Tuhan mereka?", secara terus-terang Khalif Muammar berkata, "Itu bagi saya suatu yang naif."

Khalif menjelaskan bahawa beliau tidak menentang hak bukan Islam seandainya itu hak mereka. "(Tetapi) itu bukan hak mereka, kerana nama itu tidak wujud dalam bahasa mereka!", sambil beliau meluahkan keraguannya, "Tapi mengapa mereka gunakan (kalimah 'Allah') itu persoalan besar bagi saya."

"Kita tidak mahu apa yang berlaku di Indonesia berlaku di negara kita, apabila rumah ibadah disebut nantinya, 'Rumah Allah'... nanti kita perlu bertanya, Allah yang mana? Allah Islam atau Allah Kristian?" tanya Khalif yang menjangkakan "kekeliruan" akan berlaku seandainya bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah "Allah".

Definisi "Allah" dalam kamus Oxford, Cambridge


Pengerusi Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM), Mohd Farid Mohd Shahran (gambar kanan) menafikan bahawa wujudnya persoalan "siapa nak memonopoli apa", sambil menegaskan bahawa "kita tak nak monopoli apa-apa kalimah sekalipun."

Pensyarah Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkata, "Umumnya menerima bahawa kalimah 'Allah' ini merupakan kalimah yang digunakan oleh masyarakat Islam sedunia untuk merujuk kepada tuhan yang Esa. Saya dah check (semak) kamus-kamus yang besar sama yang Inggeris mahupun Arab, semuanya merujuk kalimah 'Allah' ini sebagai 'God of the muslim'..., paling tidaknya," katanya.

Beliau menambah, "...termasuk Oxford Dictionary dan Cambridge. Paling tidak mereka juga mengakui bahawa istilah kalimah ini merupakan Tuhan yang dipercayai dan diimani oleh orang Islam, walaupun ia juga digunakan sebahagian orang bukan Islam. Saya ingat ini satu fakta penting untuk kita pegang sebagai landasan perbincangan kita."

Fakta tidak semestinya kebenaran

Bagaimanapun, Mohd Farid Mohd Shahran kemudiannya mengajak hadirin untuk menilai sama ada penterjemahan kalimah ini tepat atau tidak, dan implikasinya dalam konteks Malaysia. Malah, beliau melanjutkan pandangan Khalif Muammar bahawa makna kalimah "Allah" telah di-islamisasi-kan, malah mencadangkan alternatif terjemahan Tuhan untuk bukan Islam, misalnya istilah Elohim, Yahweh atau Adonai.

Menyedari bahawa kalimah "Allah" digunakan oleh bukan Islam sejak awal lagi, Mohd Farid Mohd Shahran bagaimanapun menganggap tempoh penggunaan bukan kayu ukur dalam pertimbangan sama ada ianya wajar atau tidak, kerana "fakta tidak semestinya kebenaran".

Kekeliruan untuk bukan Islam


Shah Kirit Kakulal Govindji (gambar kiri) yang pernah hidup sebagai bukan Islam, sambil seloroh menggelar dirinya "makhluk dua alam", mempersoalkan apakah orang Kristian tidak faham seandainya "god" diterjemahkan kepada "tuhan"?

Malah, pendakwah yang kini memeluk Islam ini menganggap kekeliruan bukan sahaja berlaku kepada orang Islam, tetapi juga pada kristian, seandainya "god" diterjemahkan kepada "Allah". Beliau memetik beberapa ayat daripada bible, yang menyatakan Jesus menyembah kepada God, memuji kebesaran God, dan seandainya diterjemah kepada "Allah", adalah tidak menjadi masalah kepada muslim, tetapi apakah orang Kristian akan menerimanya?

Ketika menjawab soalan dari hadirin dan menggulung pembentangannya, Shah Kirit Kakulal Govindji menjelaskan bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "Allah" sahaja (Tuhan Islam), tetapi tidak bersetuju seandainya dirujukkan kepada Tuhan yang tidak menepati konsep "Allah".

Beliau mengambil contoh, seandainya seseorang bukan muslim merujuk "Allah" kepada Tuhan berhalanya, atau merujuk kepada "pokok", beliau sebagai seorang muslim tidak akan menyetujuinya.

Tiada nas larang bukan Islam guna kalimah Allah



Kalau Khalif Muammar mendakwa tiada nas dalam al-Quran yang menyokong hujah bahawa nama "Allah" boleh digunakan oleh bukan Islam, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Azwira A. Aziz pula mendakwa "tiada nas jelas dalam al-Quran yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah'".

Jelas Azwira (gambar kanan) lagi, "begitu juga, tiada nas yang jelas baik nas perlembagaan Malaysia, ataupun nas al-Quran yang mengkhususkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam."

Azwira menambah, "...bukti tiada nas yang jelas dalam perkara ini dari sudut syariah Islam atau sumber Islam ialah, apabila pihak responden dalam kes ini, iaitu barisan peguam yang mewakili pihak kerajaan Malaysia ini gagal membuktikan perkara ini di mahkamah. Sehingga hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan membuat penghakiman membenarkan (penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam)."

Malah, beliau memetik analisa pakar perundangan perlembagaan Malaysia, Abdul Aziz Abdul Rahman, "...keputusan hakim itu membuktikan pihak responden, peguam kerajaan gagal membuktikan beberapa perkara. Pertama, kalimah Allah itu khusus untuk orang Islam. Dia gagal buktikan ini. Yang kedua, bahawa orang bukan Islam atau penganut Kristian tidak guna kalimah itu dalam bible, tidak guna kalimah itu dalam ajaran mereka, dan tidak diguna oleh pemimpin agama. Pihak peguam gagal buktikan ini."

Dalam kes penggunaan kalimah "Allah" oleh Herald-The Catholic Weekly, pihak pemohon (applicant) mendakwa bahawa kalimah "Allah" telah digunakan sekian lama, malah mengemukakan bible terjemahan Munshi Abdullah sebagai buktinya.

Azwira A. Aziz menambah, "kalau perkara (di atas) ini dapat dibuktikan, dengan hujah, dengan nas, dengan fakta keagamaan yang jelas, nescaya keputusan itu akan bertukar."

Beliau berkata, seandainya terdapat nas yang jelas untuk melarang penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam dalam Quran dan Hadis, yang menjadi sumber rujukan Islam di Malaysia, maka boleh jadi mahkamah membuat keputusan yang menghina Islam jika menolak fakta tersebut.

Menyanggah satu demi satu


Pensyarah UKM ini menyanggah hujah-hujah daripada pihak yang berpendirian sebaliknya ketika menggulung pembentangannya. Untuk masyarakat Islam yang bimbang bahawa penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam bakal menimbulkan kekeliruan atau salah faham, yang berakhir dengan murtad atau keluar Islam, Azwira A. Aziz menganggap ia sekadar "andaian", dan beliau hanya menerima hujah sedemikian sekiranya ada kajian yang betul-betul membuktikan andaian tersebut.

Malah, beliau mengingatkan bahawa penggunaan kalimah "Allah" yang bersifat dakyah (bukan Islam kepada Islam) memang tidak dibenarkan dalam undang-undang. Azwira A. Aziz memetik penghakiman dalam kes ini yang berbunyi, "...adalah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' pada orang Islam untuk menyebar-luaskan agama bukan Islam. Tetapi ia bukan satu kesalahan bagi bukan Islam mengguna kalimah itu kepada, sesama bukan Islam bagi tujuan agama."

Azwira juga menolak cadangan untuk mengenakan syarat agar penggunaan kalimah "Allah" dihadkan kepada "maksud yang sama dengan kefahaman orang Islam", yang padanya "syarat yang tidak boleh dipakai" kerana "itu tak ada makna". Bahkan beliau mengingatkan agar "orang Islam jangan buat kerja yang sia-sia".

Ketika menyanggah hujah bahawa "orang Melayu tempatan tidak biasa dengan penggunaan oleh Kristian", beliau menganggap kebiasaan setempat tidak boleh dijadikan alasan, kerana "banyak perkara yang kita timbulkan sebagai pembaharuan minda". Azwira mengambil contoh bahawa Nabi pernah ditentang masyarakat kafir kerana "membawa perkara yang luar biasa untuk masyarakat setempat.

"Memang setiap perkara bermula dari tak biasa. Bila dah biasa, barulah hilang bisa itu. Kita tak cakap biasa atau tak biasa, kita cakap di situ, hukumnya boleh atau tak boleh," tegasnya.

Maha untuk manusia dan Tuhan

Antaranya, "kekeliruan" konsep menjadi hujah yang paling kerap dibangkitkan untuk melarang penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Muslim. Azwira yang mendapat "ilham" daripada sahabatnya, meyakinkan masyarakat Islam bahawa mereka berupaya membezakannya dengan contoh "Maha Mulia".

Beliau berkata "Maha Mulia" itu adalah sifat Allah, tetapi "Duli Yang Maha Mulia" digunakan terhadap Yang Dipertuan Agong yang merupakan manusia. "Tetapi kerana orang Melayu dah biasa, mereka boleh beza maksud tu, Maha Mulia kepada Allah, Yang Maha Mulia kepada manusia," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh dari bawah pentas.

Azwira seterusnya mengulas isu ini dari perspektif bahasa persuratan sesuatu bangsa, yang pada pengamatannya, kalimah "Allah" telah menjadi kalimah bahasa Melayu. "Maka orang Kristian yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasminya, dia nak guna kalimah dalam konteks bahasa Melayu," sebelum beliau melontarkan pertanyaan kepada mereka yang mencadangkan istilah alternatif, "Takkan kita nak cadang orang Malaysia menggunakan bahasa Yahudi?"

Beza Malaysia dpd lain: UMNO


Khalid Samad (gambar kiri), ahli parlimen Shah Alam-PAS, yang sering mencungkil kontroversi dengan pendiriannya dalam isu agama, diaturkan sebagai panel terakhir untuk berucap.

"Saya rasa, mungkin Malaysia ialah satu-satu negara dunia Islam ini yang kecoh pasal isu penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam," beliau menggelakkan satu dewan apabila menyambung, "...apa yang bezakan negara Islam lain dengan Malaysia? Bezanya, UMNO."

Pemimpin PAS ini kemudian menuding jari kepada UMNO, "Mereka mahu menguasai, memiliki Islam ikut takrif mereka. Inilah masalahnya!"

Beliau menyahut pandangan Azwira bahawa tidak ada nas yang mengharamkan penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam, "Tak pernah Rasulullah memberitahu mereka (bukan Islam) tak boleh guna nama Allah. Tapi apa yang Rasulullah beritahu ialah, Allah yang kamu maksudkan tidak sama seperti mana Allah yang kita (Islam) maksudkan."

"Saya rasa ianya merupakan satu masalah yang sengaja ditimbulkan," secara terus terang Khalid Samad melontarkan tanggapannya.

Beliau juga membacakan ayat dalam al-Quran, yang mengatakan bahawa Allah perintah orang Islam "Alhamdulillah", apabila bukan Islam menjawab bahawa pencipta adalah "Allah". "...(Allah) bukan ajar kita 'jangan cakap, cakap tokong awak, ataupun cakap tuhan awak!' (kepada bukan Islam)"

"Saya tak faham dari mana datangnya kefahaman yang seperti begini," katanya.

Perbezaan antara Islam dengan bukan Islam

Khalid Samad berkali-kali menekankan bahawa tauhid yang membezakan antara Islam dengan bukan Islam. "Perbezaan di antara Islam dengan bukan Islam bukan kalimah 'Allah', (tetapi) kefahaman tentang sifat-sifat Allah, hakikat bahawa Allah itu Esa. Hakikat bahawa Allah itu maha penyayang, maha pengasih. Ini yang bezanya."

Khalid Samad tidak melepaskan peluangnya untuk menyerang UMNO dalam forum tersebut, apabila sekali lagi menuding kepada UMNO, "Yang menghalang kita daripada memahami, dan menimbulkan isu-isu sehingga keliru kita ini, sampai benda yang basic (asas) sebegini pun kita tak dapat bezakan. UMNO-lah!"

Malah, ketika menjawab soalan daripada hadirin bahawa "sama ada beliau betul-betul memahami Islam", Khalid Samad membubuh tanda noktah kepada ucapannya dengan berkata, "Saya tak faham Islam ala-Melayu."

Allah dipunyai?


Apa yang menarik, tajuk forum "Allah: Siapa yang punya?" ini ditegur oleh beberapa orang panelis, yang dianggap berbau provokasi. Azwira menganggap "pemilikan" itu bermaksud "penguasaan", padahal Tuhan yang menguasai segala-galanya. Eddin Khoo, sebagai budayawan, penulis dan pengkaji agama, juga berpandangan bahawa Tuhan tidak boleh dimiliki.

Eddin Khoo (gambar kiri) yang pernah bekerja sabagai wartawan di media arus perdana, menceritakan pengalamannya satu dekad dahulu, bagaimana media diarahkan agar tidak menyiarkan gambar pemimpin melawat ke gereja pada hari Krismas. Beliau berharap agar pertikaian kalimah "Allah" ini dapat dikendalikan secara bertamadun, daripada sekali lagi "membina tembok yang sensitif".

Seorang lagi ahli panel, Hasmi Hashim yang merupakan penulis, mengambil kesempatan untuk "membersihkan nama" Munshi Abdullah, yang diejek, ditohmah dan difitnah sebagai "paderi Munshi" kerana terlibat dalam penterjemahan injil kepada bahasa Melayu.

Hasmi Hashim memetik beberapa ayat tulisan Munshi Abdullah, yang merupakan luahan Munshi ketika berdepan dengan tuduhan tersebut, "...banyaklah orang menyatakan pekerjaan itu tiada baik, iaitu merosakkan agama adanya, maka apabila aku mendengar perkataan itu, tunduklah aku sambil keluar air mataku, serta berfikir: 'Dari mana gerangannya datang bencana ini? Terlalu bodoh.'"

Hasmi Hashim (gambar kanan) antara pemuda yang membantah penggantungan permit penerbitan dalam isu karikatur Nabi, berlaku pada Oktober 2006, sekali lagi menyeru agar berhati-hati ketika menguruskan krisis ini.


Hasmi menyedari bahawa kebimbangan segelintir muslim seandainya kalimah "Allah" itu disalahguna pihak bukan Islam, tetapi tetap tidak menganggap bahawa ia adalah alasan bagi Muslim untuk tidak memberikan hak dan keadilan kepada yang bukan Islam.

Hasmi Hashim mengingatkan hadirin bahawa sehinggalah Munshi meninggal dunia pada tahun 1854 di Jeddah, Munshi kekal sebagai seorang Muslim. Pegangan agama Munshi tidak pernah goyang atau tercalar sepanjang waktu beliau melakukan kerja terjemahan Injil, bahkan sepanjang hayatnya.

2 comments:

Blue said...

Membenarkan nama Allah swt itu digunakan oleh orang bukan Islam, boleh dibahagikan kepada 3 kategori:

1 Nama Allah swt langsung tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Ia hanya utk orang Islam sahaja, seperti yang disarankan oleh pihak Sultan.

2 Membenarkan digunakan tapi dengan syarat tidak boleh bercanggah dengan surah al-Ikhlas 112.

3 Membenarkan digunakan tanpa ada sekatan apa2. Kalau mereka nak kata Allah swt itu ada anak, mereka dibenarkan.


Tapi yang dijelas ialah tiada ulama yang membenarkan seperti dalam kategori 3, kerana ini BOLEH MEMBAWA SESEORANG MUSLIM ITU KEPADA KEKUFURAN(pandangan Prof. Datuk Harun Din). Maka semua amal nya akan ditolak dan termasuklah dia kedalam golongan yang rugi diakhirat. Walaupun ada yang mengatakan pandangan ini adalah khilaf, tetapi dalam soal aqidah lebih elok kita ambil jalan yang paling selamat.

Semua ulama yang mengatakan boleh menggunakan nama Allah swt meletakkan syarat bahawa ianya mesti digunakan dengan baik dan tidak disalah guna. Pandangan ini termasuk, Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi, Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili, TGNA, DSHA, Dewan ulama PAS, Dr Asri dan Dr Nor Manutty.

Malangnya syarat2 ini tidak diperjelaskan. PAS dan PKR, samada sengaja atau tidak sengaja, tidak memperincikan syarat2 ini. Bagi kita umat Islam ini lah isu sebenarnya. Apakah dia syarat2 itu? Apakah yang dimaksudkan dengan tidak boleh disalah guna? Apakah syarat2 ini sama dengan kategori 2?

Pihak Kristian tentu tidak setuju kalau kita mengenakan syarat kategori 2, mereka akan berkeras maukan kategori 3. Tapi ini boleh membawa kekufuran kepada orang Islam yang membenarkannya.

Kalau kita memaksa juga mereka dengan kategori 2, bagaimana pula kita hendak pastikan mereka mengikut syarat2 itu? Apakah kita akan mengambil tindakan mahkamah pula, sekiranya syarat2 itu dilanggar? Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengobati? UMNO, PAS dan PKR langsung tidak membicarakan soal ini. Nampaknya mereka lebih mementingkan tujuan politik masing2.

Bagi kita umat Islam yang sayangkan Allah swt, untuk menghilangkan keraguan samada syarat2 itu dipatuhi atau tidak, penyelesaian yang terbaik, ialah dengan memilih kategori 1, seperti mana yang disarankan oleh pihak Sultan.

Anonymous said...

欧美国家也立法说“回教不可用阿拉”可以吗 ?。

回教可兰经114章,6千2百23节没有一节说“阿拉是回教的专用名词Islamic proper noun”,基督教的圣经由旧页到新页也没有任何一节说“阿拉是基督教的专用名词”。

马来西亚的立法议会成员回教徒多就立法说“非回教不可用阿拉称呼他们的神”。请问欧美和其他国家的立法议会成员几呼都是基督教徒可以不可以也立法说“回教不可用阿拉称呼神”?????。

回教可兰经里的一段经文说“以牙还牙,以眼还眼”。这段经文告诉从人你不要人家怎么样对待你,请别那样对待别人。

既然你会立法,难到别人就不会立法。你立的法要别人“遵从”,别人立的法请你也“尊从”吧。

不久,欧美也会有人在他们的国会里建议通过“回教不可用阿拉”的立法。请你土权大肥佬和那些满口讲“遵守法律的人”到时告诉那里的回教徒“你们要遵守法律”。

阿门。

事实上这些家伙要搞啥把戏令伯在2013年12月29日就知道了。所以在30日便在网上问《阿拉是谁的 ?是谁同意阿拉是回教徒的 ?》。

别以为你会有头风的国会议员,欧美国家就没有头风的国会议员。只要他们向阿拉伯国家解释他们为什么要在国会里建议“回教不可用阿拉”全世界回教国不把枪头指向马来西亚唯令伯是问吧。

他们连同性恋合法化也敢建议,建议立法不准回教用“阿拉”根本是小儿科”啦。哈哈哈哈。


由:敦符国荣博士著
2014年1月9日




Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives