Followers

Kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang

Saturday, January 23, 2010

Mengikut kitab hikayat Tufat n' Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan, iaitu Megat Seri Rama, telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.

Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang sedang mengandung, telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada sultan. Wan Anum kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Wan Anum. Ketika Sultan Mahmud Syah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Wan Anum ditangkap dan dibelah perutnya menyebabkan kematian isteri Laksamana.

Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cermelang bagi angkatan tentera Johor. Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke rumahnya mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati. Laksamana merasa marah, kecewa dan menangis apabila mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya isteri kesayangannya dibunuh.

Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Syah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri sambil menghalang lalu lintas baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!". Sepantas kilat, laksamana terus menikam Sultan dengan kasarnya.

Suasana di perkarangan masjid gempar apabila darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku. Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah keris yang tersisip di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana. Sultan terus betitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi...."

Berberapa minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir. Megat yang tiba-tiba memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.

....

'Tulah' Sultan Mahmud

Oleh Ahmad Bahri Mardi

Tindakan berani hulubalang Johor diakhiri sumpahan terhadap keturunan Bentan.

ADAKAH kejadian banjir besar yang berlaku di Kota Tinggi pada Disember dan Januari 2007 lalu mempunyai kaitan dengan sumpahan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang terhadap Laksamana Bentan?


Persoalan ini timbul apabila makam Sultan Mahmud Shah II di Kampung Makam, tidak dijejaki air seinci pun, sedangkan bandar Kota Tinggi dan pusara Laksamana Bentan di Kampung Kelantan tenggelam dalam kejadian banjir besar itu.

Kini punca banjir besar itu terus menjadi tanda tanya. Ada yang mendakwa ia berpunca daripada hujan luar biasa, pembangunan di hulu Sungai Johor yang tidak terancang dan yang terbaru dikaitkan dengan penambakan Pulau Tekong, Singapura.

Ketika pelbagai pihak menunggu jawapan konkrit punca utama kejadian banjir besar itu, tiba-tiba nama Sultan Mahmud Mangkat Dijulang terus bermain di bibir di kalangan penduduk Kota Tinggi.

Mereka bertanya sesama sendiri adakah benar Sultan Mahmud Shah II sebelum menghembuskan nafas terakhirnya melafazkan sumpah kepada keturunan Bentan di bumi Kota Tinggi, atau ia hanya cerita mitos orang terdahulu.

Adakah banjir besar yang melanda Kota Tinggi itu sebagai simbol membersihkan bandar berkenaan daripada segala kekotoran dan kezaliman sultan sebaik saja sumpahan itu berakhir sehingga generasi ketujuh Laksamana Bentan?

Selepas beberapa ratus tahun kemangkatan baginda, masih ramai yang tidak putus-putus bercerita kisah individu tertentu yang seolah-olah terkena ‘tulah’ akibat sumpahan itu.

Malah, ada beberapa kisah benar yang tersebar daripada mulut ke mulut mengatakan, ada beberapa individu yang muntah-muntah, pening kepala dan gementar apabila menjejakkan kaki ke bumi Kota Tinggi.

Bagaimanapun, sama ada benar atau tidak, kejadian itu, paparan cerita lisan yang tidak didokumentasikan itu tidak boleh dinafikan dan tidak boleh juga dipercayai semuanya.

Mengimbas peristiwa tragis lebih 300 tahun lampau itu, Laksamana Bentan atau nama sebenarnya Megat Sri Rama menikam Sultan Mahmud pada Ogos 1699. Tindakan berani hulubalang Johor berasal dari bumi Bentan, Riau itu diakhiri dengan sumpahan oleh sultan terhadap keturunan Bentan.

Memetik kisah dipaparkan dalam buku Sejarah Johor, tulisan Buyong Adil, pada muka surat 96 ada menyatakan: “Syahdan maka adalah pada ketika baginda itu di atas julang hendak pergi bersembahyang Jumaat, lalu diparangnya baginda itu lalu mangkat, dan Megat itu pun mati juga kerana dilontar oleh baginda dengan kerisnya."

Hanya pada perenggan itu saja diceritakan bagaimana peristiwa pembunuhan oleh Megat Sri Rama terhadap Sultan Mahmud dan pada masa sama baginda melontar keris ke arah Laksamana Bentan itu sehingga mengenainya lalu meninggal dunia. Tiada langsung diulas mengenai sumpahan sultan terhadap keturunan Laksamana Bentan.

Bagaimanapun, pada versi yang lain seperti dipapar dalam buku cerita klasik, sebuah filem Melayu mahu pun cerita lisan, ada sedikit lagi penambahan pada kejadian itu.

Diceritakan, selepas lontaran keris oleh Sultan Mahmud ke arah Megat Sri Rama, keris itu ada dikatakan singgah ke kakinya, ada juga mengatakan terkena dadanya. Sebelum menghembuskan nafasnya, baginda sultan sempat melafazkan sumpahnya yang lebih kurang berbunyi:

"Jika benar beta adalah raja Melayu berdaulat, sebagai balasan kepada orang yang menderhaka kepada raja, Beta sumpah selama tujuh keturunan orang Bentan akan muntah darah jika menjejak kakinya di bumi Kota Tinggi."

Selepas beberapa tahun kemangkatan baginda, dan selepas tamat tempoh baginda memerintah sebagai Sultan Johor ke-10, yang memerintah dari 1685 hingga 1699, tidak ramai yang mengetahui, mengalami mahu pun terkena sumpahan itu hingga ada yang muntah darah.

Dikatakan, dari 1699 hingga 1990, sumpahan itu sudah berakhir. Tafsiran itu dibuat kerana pada 1990, bandar Kota Tinggi mula membangun dengan pesat. Ia juga dikaitkan dengan tempoh berakhirnya sumpahan Sultan Mahmud.

Cerita lisan dan andaian itu menyamai seperti apa yang berlaku di bumi Langkawi, yang turut membangun dikatakan selepas tamatnya tempoh sumpahan Mahsuri.

Menjejak semula kisah individu yang pernah dikaitkan dengan sumpahan Sultan Mahmud itu, dan secara tidak langsung boleh mengaitkan individu itu adalah keturunan Bentan. Berita Minggu, cuba menjejak semula cerita itu, yang tersebar secara lisan terutama daripada penduduk tempatan.

Anak jati Kampung Makam, Mustafa Abu Bakar, 64, berkata pada 1968, seorang pemuda berusia sekitar 20an berasal dari Muar tiba-tiba muntah apabila tiba di pekarangan makam Sultan Mahmud.

Beliau berkata, lelaki itu datang dengan rombongan persatuan belianya dengan menaiki sebuah bas seramai 40 orang. Bagaimanapun, hanya beliau seorang saja yang termuntah-muntah dan tidak berani meneruskan langkah menuju ke arah makam. Biarpun begitu muntah lelaki itu tidak disertai darah.

"Ketika itu saya sebagai penyambut tetamu dan apabila melihatkan kejadian itu. Saya segera membawanya ke tepi sungai untuk menyeberangi Sungai Johor,” katanya.

Katanya, sebaik berjaya menyeberang Sungai Johor dan tiba di Kampung Tembioh, lelaki itu pulih seperti sedia kala. Lelaki itu kemudian dibawa rakannya pulang ke Muar.

Warga emas, Mohamed Abdullah, 98, menceritakan pada sekitar tahun 1960-an, ada adik beradik yang datang ke Kota Tinggi dan ingin menetap di sini, tetapi berpindah ke tempat lain.

Seorang menetap di Mersing dan seorang lagi di Pontian, dua beradik itu adalah Awang Sudin Mohd Taha dan adiknya, Yusof Mohd Taha. Kedua-dua mereka sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, Awang Sudin mengalami muntah darah apabila beliau melepasi jambatan Kota Tinggi di Sungai Johor manakala Yusof, tidak pula muntah darah tetapi mengalami lemah badan, pening dan tidak berani meneruskan tujuan untuk memasuki bandar Kota Tinggi.

"Saya tidak pasti sama ada kedua beradik itu keturunan Bentan atau tidak. Tetapi, kalau tiada kena mengena dengan keturunan Bentan, mengapa pula dia tiba-tiba muntah darah. Hanya Allah saja yang mengetahui, " katanya.

Terbaru, seperti diceritakan oleh Mohd Saleh Ahmad, 55, enam tahun lalu, bapa saudaranya, Abdul Rahman Mohamad yang juga seorang pesara berasal dari Kajang, Selangor cuba mempersendakan makam Sultan Mahmud.

Beliau berkata, ketika menziarah makam Sultan Mahmud di Kampung Makam, apabila melihat nesan Sultan Mahmud yang sudah pecah, beliau lalu berkata secara bersaja sambil membuat jenaka mengatakan cebisan nesan itu berkesan jika diambil untuk digunakan memuja nambor ekor.

"Oleh kerana celuparnya mulut bapa saudara saya itu, beliau tiba-tiba mengalami pening kepala dan muntah di kawasan luar makam,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Salleh mengakui Sultan Mahmud bukan sebarangan orang yang boleh dipersenda termasuk apabila menziarahi makamnya. Walaupun bapa saudaranya bukan keturunan Bentan, tetapi kerana mempersenda makam berkenaan, dia turut terkena balasan serta-merta.

0 comments:

Post a Comment

Berita/Artikel lain....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives